Skip to main content

Dunia

Tesla tarik balik hampir tiga juta EV di China susulan isu keselamatan pemegang pintu

41728619075_Teslas.jpg
Langkah itu merupakan sebahagian daripada kempen panggilan balik terbesar dalam sejarah industri automotif China yang melibatkan lebih 4.3 juta kenderaan daripada beberapa pengeluar. -Gambar fail
Advertisement

BEIJING: Tesla Inc menarik balik hampir tiga juta kenderaan di China susulan kebimbangan keselamatan berkaitan pemegang pintu tersembunyi yang berpotensi sukar dikenal pasti atau digunakan ketika kecemasan.

Langkah itu merupakan sebahagian daripada kempen panggilan balik terbesar dalam sejarah industri automotif China yang melibatkan lebih 4.3 juta kenderaan daripada beberapa pengeluar.

Selain 2.98 juta kenderaan Tesla yang merangkumi model keluaran tempatan dan import, kempen itu turut melibatkan beberapa pengeluar kenderaan elektrik (EV) China termasuk XPeng, Xiaomi, Leapmotor dan Geely.

Menurut pihak berkuasa China, isu berkenaan berkaitan pemegang pintu tersembunyi serta sistem pelepasan kecemasan yang mungkin sukar dikenal pasti atau digunakan sekiranya berlaku perlanggaran serius yang menyebabkan sistem elektrik kenderaan gagal berfungsi.

Tesla berkata sebahagian Model 3, Model Y, Model S dan Model X terlibat kerana pemegang pelepasan kecemasan mekanikal berkenaan sukar dikenal pasti atau dikendalikan berikutan warnanya yang menyerupai kemasan dalaman kenderaan.

Keadaan itu boleh menghalang pemandu, penumpang atau anggota penyelamat daripada membuka pintu dengan pantas sekiranya sistem voltan rendah kenderaan gagal berfungsi selepas kemalangan.

Sebagai langkah pembetulan, Tesla akan memasang label amaran pada kenderaan terjejas serta menyediakan kemas kini perisian secara dalam talian yang membolehkan cermin tingkap diturunkan secara automatik selepas perlanggaran dikesan.

China sebelum ini mengumumkan larangan penggunaan pemegang pintu tersembunyi bermula 1 Januari 2027, sekali gus menjadi negara pertama yang menghapuskan reka bentuk berkenaan dan mewajibkan sistem pelepasan mekanikal yang mudah dikenal pasti pada bahagian dalam serta luar pintu kenderaan.

Must Watch Video

Advertisement