Skip to main content

Dunia

Thailand cadang bayaran masuk 450-baht untuk pelancong asing

Thailand mencadangkan bayaran 450 Baht (kira-kira RM54.56) bagi pelancong asing yang memasuki negara itu melalui udara. - Foto REUTERS/Athit Perawongmetha
Thailand mencadangkan bayaran 450 Baht (kira-kira RM54.56) bagi pelancong asing yang memasuki negara itu melalui udara. - Foto REUTERS/Athit Perawongmetha

Advertisement

BANGKOK: Thailand mencadangkan bayaran 450 Baht (kira-kira RM54.56) bagi pelancong asing yang memasuki negara itu melalui udara.

Menteri Pelancongan dan Sukan Surasak Phancharoenworakul berkata bayaran itu akan menyumbang kepada kos penyelenggaraan destinasi pelancongan dan menyediakan perlindungan insurans untuk pelancong sekali gus mengurangkan pergantungan pada dana awam.

“Dari awal tahun hingga September, lebih 22 juta pelancong asing melawat Thailand, menjana pendapatan lebih 1 trilion baht,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata bayaran yang dicadangkan itu akan ditangguhkan selama setahun bagi ketibaan darat dan laut.

Surasak berkata sebahagian daripada hasil itu akan membiayai insurans meliputi kematian dan perbelanjaan perubatan bagi pelancong yang membayar yuran tersebut, tertakluk pada syarat dasar, manakala selebihnya akan disalurkan kepada Dana untuk Promosi Pelancongan Thai.

“Selepas menolak kos kutipan dan insurans, kerajaan menjangkakan langkah itu menjana sekurang-kurangnya 8 bilion Baht setahun untuk pembangunan berkaitan pelancongan,” katanya.

Kementerian itu akan bekerjasama dengan syarikat penerbangan, Biro Imigresen dan pihak berkepentingan lain untuk memuktamadkan mekanisme kutipan, pengecualian dan pengaturan insurans sebelum menyerahkan draf pemberitahuan kepada Lembaga Dasar Pelancongan Negara dan Kabinet, tambahnya.

Sementara itu, media Thailand melaporkan Kementerian Kewangan sedang mempertimbangkan cukai berlepas sebanyak 1,000 Baht (kira-kira RM121.25) bagi setiap perlepasan melalui udara, tanpa mengira kewarganegaraan.

Di bawah draf perundangan yang kini dibuka untuk perundingan awam, cukai itu akan mengenakan kadar siling berkanun sebanyak 5,000 Baht setiap perlepasan, manakala perlepasan darat dan laut pada mulanya akan dikecualikan.

Menurut laporan itu, Jabatan Hasil berkata cadangan Akta Cukai Perlepasan akan menggantikan peruntukan di bawah perundangan Thailand 1983. Perundingan awam itu berlangsung dari 30 Sept hingga 29 Okt.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement