INTERNATIONAL
Thailand jamin keselamatan pelancong menjelang Songkran

Festival Maha Songkran tahun ini menjadi platform global untuk menonjolkan potensi Thailand sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka. - Gambar fail/AP
BANGKOK: Kementerian Pelancongan dan Sukan Thailand memberi jaminan terhadap langkah keselamatan penuh menjelang sambutan Songkran, susulan gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Jumaat lalu.
Menteri Pelancongan dan Sukan, Sorawong Thienthong berkata pihak kementerian telah mengadakan perbincangan rapat dengan pemain industri pelancongan bagi menilai situasi semasa.
Beliau yakin bahawa Thailand kekal sebagai destinasi selamat, membolehkan pelancong tempatan dan antarabangsa menyambut perayaan itu tanpa kebimbangan.
"Pemeriksaan keselamatan yang menyeluruh di hotel dan kemudahan penginapan serta sijil rasmi dikeluarkan, memastikan semua premis selamat untuk pelancong," katanya dalam satu kenyataan selepas melancarkan kempen promosi berskala besar, "Thailand Maha Songkran 2025" , pada Khamis.Sorawong turut menggalakkan penduduk tempatan dan pelawat untuk yakin dengan kesiapsiagaan Thailand dan menikmati sepenuhnya sambutan Maha Songkran 2025.
Beliau berkata perayaan tahun ini akan lebih meriah dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pengangkutan, Kementerian Kesihatan Awam, Polis Diraja Thailand, serta pihak berkuasa tempatan yang bertanggungjawab menganjurkan acara di seluruh negara.
Pendekatan bersepadu ini bertujuan meningkatkan kemudahan, keselamatan dan kualiti perkhidmatan bagi menampung kedatangan pelancong yang dijangka meningkat.
"Dengan usaha bersama semua pihak, kami yakin dapat memberikan pengalaman yang tidak dapat dilupakan kepada pengunjung.
"Festival Maha Songkran tahun ini bukan sekadar pesta kegembiraan dan tradisi, tetapi juga platform global untuk menonjolkan potensi Thailand sebagai destinasi pelancongan antarabangsa terkemuka," katanya.
Sementara itu, media tempatan melaporkan bahawa Kabinet telah memperuntukkan 153.03 juta baht daripada Dana Pusat bagi membiayai "Maha Songkran World Water Festival 2025" yang akan berlangsung di Sanam Luang dari 11 hingga 15 April.
Jurucakap kerajaan Jirayu Huangsap berkata sambutan Tahun Baharu Thailand selama lima hari itu dicadangkan oleh Kementerian Pelancongan dan Sukan serta Pihak Berkuasa Pelancongan Thailand (TAT).
Kementerian menjangkakan acara di Sanam Luang akan menjana pendapatan sebanyak 3.2 bilion baht dan menarik kira-kira 800,000 pelawat tempatan serta antarabangsa.
Songkran disambut setiap tahun pada 13 April, menandakan permulaan Tahun Baharu Thailand.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami