DUNIA
Thailand janji rawatan, bantuan untuk pelancong Malaysia melecur dalam insiden Ratchadamri

Menurut Natreeya, kos rawatan perubatan akan dibayar balik mengikut jumlah sebenar dalam resit, sehingga maksimum 500,000 baht, manakala pampasan bagi tekanan emosi berjumlah 50,000 baht. - Gambar Bernama
BANGKOK: Kerajaan Thailand akan memberikan pampasan kepada dua pelancong Malaysia yang dibakar oleh seorang lelaki di Jalan Ratchadamri di sini pada Khamis malam.
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Natreeya Taweewong menegaskan komitmen kementeriannya untuk menyediakan rawatan dan bantuan terbaik kepada kedua-dua mangsa sehingga mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat.
"Kementerian juga akan menyalurkan bantuan di bawah langkah pampasan kerajaan Thailand, termasuk menanggung kos rawatan perubatan dan pampasan bagi tekanan emosi kepada kedua-dua mangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurut Natreeya, kos rawatan perubatan akan dibayar balik mengikut jumlah sebenar dalam resit, sehingga maksimum 500,000 baht, manakala pampasan bagi tekanan emosi berjumlah 50,000 baht."Ini menjadikan jumlah pampasan maksimum sebanyak 550,000 baht bagi setiap mangsa.
"Kerajaan akan mempertimbangkan bantuan tambahan mengikut kesesuaian, dengan kes lain tertakluk kepada budi bicara doktor yang merawat," katanya.
Beliau berkata kementerian dengan kerjasama semua agensi berkaitan akan memastikan mangsa menerima rawatan perubatan terbaik, sokongan logistik dan bantuan psikologi.
Natreeya memaklumkan keadaan kedua-dua mangsa bertambah baik, dengan pelancong wanita berkenaan sudah boleh berkomunikasi melalui tulisan.
Beliau mengakui bahawa walaupun keluarga mangsa menyuarakan hasrat untuk membawa mereka pulang ke Malaysia bagi rawatan lanjut, doktor tidak mengesyorkan perjalanan pada masa ini.
"Oleh itu, kedua-dua pesakit akan terus menerima rawatan di Thailand buat sementara waktu," katanya.
Sekitar 10 malam Khamis lalu, seorang lelaki didakwa menyiram cecair pencair dan membakar dua rakyat Malaysia, Gan Xiao Zhen, 27, dan Ong Yik Leong, 26, berhampiran sebuah pusat beli-belah di Jalan Ratchadamri.
Gan kini dirawat di King Chulalongkorn Memorial Hospital akibat melecur tahap dua pada 36 peratus bahagian badannya termasuk muka, dada dan lengan, manakala Ong dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Police General Hospital akibat melecur tahap dua pada bahagian atas badan, depan dan belakang.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami