BANGKOK: Kabinet Thailand meluluskan pengenaan duti import sehingga 30 peratus terhadap barangan yang dibeli daripada platform e-dagang asing dan dihantar melalui perkhidmatan kurier ekspres atau pos antarabangsa, dalam usaha memberikan peluang persaingan lebih adil kepada perusahaan kecil tempatan, lapor Xinhua.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan Ekniti Nitithanprapas berkata pertumbuhan pesat e-dagang memberikan kemudahan kepada pengguna Thailand untuk mendapatkan barangan asing pada harga murah, sedangkan perniagaan domestik perlu menanggung kos cukai, upah pekerja serta pematuhan terhadap undang-undang dan piawaian produk, sekali gus meletakkan mereka pada kedudukan kurang kompetitif.
Kerajaan berkata pihaknya bimbang sesetengah barangan import murah yang dijual secara dalam talian mungkin tidak memenuhi piawaian atau tidak selamat digunakan.
Peraturan itu bertujuan mengurangkan import barangan yang tidak mempunyai mana-mana perniagaan berdaftar di Thailand yang bertanggungjawab memastikan pematuhan terhadap piawaian produk.
Langkah berkenaan bukan bertujuan menyekat perdagangan dalam talian atau mengehadkan pilihan pengguna, kata Ekniti.
Beliau berkata sistem percukaian dan peraturan perdagangan akan dikemas kini bagi mencerminkan perubahan dalam ekonomi.
-- BERNAMA-XINHUA