NARATHIWAT: Selepas mengesan COVID-19 varian Afrika Selatan membabitkan penularan tempatan di selatan Thailand awal bulan ini, pihak berkuasa meningkatkan langkah keselamatan di sepanjang sempadan Thailand-Malaysia yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok.

Tinjauan Bernama mendapati pasukan keselamatan memasang kawat berduri dan mendirikan pusat pemeriksaan, manakala anggota keselamatan ditempatkan di beberapa kampung di Koh Sathon di Tak Bai, Narathiwat.

Kes varian Afrika Selatan atau B.1.351 dilaporkan di Koh Sathon, selatan Thailand membabitkan lelaki tempatan berusia 32 tahun, yang isterinya warga Malaysia, anak dan ibu mertua menyeberang sempadan secara sah dari Malaysia.

Kesemua mereka tidak menjalani kuarantin wajib.

Setakat ini 83 orang dari kluster berkenaan disahkan positif dan 11 dijangkiti varian Afrika Selatan.

Pihak berkuasa tempatan melaksanakan kawalan pergerakan penuh di sekurang-kurangnya 11 kampung di tiga daerah - Tak Bai, Sungai Padi dan Bacho dari 4 hingga 22 Mei.

Namun, dilanjutkan sehingga keadaan bertambah baik.

Sementara itu, penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Apisamai Srirangsan berkata, kerajaan telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan memperketat kawalan sempadan bagi mencegah penyeberangan haram di sempadan untuk membendung penularan varian.

"Polis Peronda Sempadan akan meningkatkan kekerapan rondaan di sepanjang sempadan, menambah penggunaan peralatan teknikal termasuk dron dan mendirikan lebih banyak pusat pemeriksaan.

"Kementerian Dalam Negeri akan meningkatkan langkah keselamatan di wilayah sempadan dan memperkuat usaha menghalang migran haram dan pemerdagangan manusia," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Selasa.

Setiausaha Tetap Kementerian Dalam Negeri Chatchai Promlert mendesak semua pihak terlibat dalam pengawasan untuk mencegah penyeberangan sempadan secara haram.

"Penglibatan pelbagai pihak termasuk orang awam akan membantu operasi pegawai tentera dan polis, mengekang kemasukan secara haram melalui sempadan dan melaksanakan langkah-langkah kawalan penyakit," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Sains Perubatan Dr. Supakit Sirilak berkata pusat sains perubatan di Songkhla akan terus menguji sampel dan analisis penjujukan genom untuk mengesan perubahan virus.

"Kami juga mengumpulkan lebih banyak sampel daripada mereka yang berada di wilayah sempadan," katanya.

Ketua Pegawai Perubatan Wilayah Narathiwat Dr Wesed Sirinthornsopon berkata jumlah kes di Koh Sathon terus meningkat.

"Kami menggiatkan pengesanan kes aktif untuk menghalang COVID-19 daripada terus merebak," katanya kepada Bernama ketika dihubungi.

Dalam tempoh 24 jam lalu, Thailand mencatat 3,207 kes baharu COVID-19 termasuk 882 banduan, dan 26 kematian, dengan jumlah jangkitan keseluruhan sebanyak 135,439 dan 832 korban.

-- BERNAMA