BANGKOK: Pihak berkuasa Thailand menahan 11 individu, termasuk seorang bekas pegawai kanan daerah, kerana disyaki terbabit dalam sindiket pemalsuan dokumen identiti membabitkan warga Myanmar etnik Rohingya, lapor Bangkok Post.
Operasi penguatkuasaan besar-besaran itu menyasarkan kegiatan penipuan pengeluaran kad pengenalan kategori 0 (Type-0), iaitu dokumen pengenalan diri 13 digit yang lazimnya dikhususkan kepada golongan tanpa kerakyatan atau tanpa status sah.
Antara suspek utama yang ditahan ialah bekas Timbalan Ketua Daerah Don Sak di wilayah Surat Thani yang kini berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Daerah Khanom di wilayah Nakhon Si Thammarat.
Mahkamah dilapor mengeluarkan 17 waran tangkap membabitkan pegawai kerajaan, individu yang bertindak sebagai penjamin menerusi pengesahan palsu serta migran Rohingya yang dipercayai memperoleh dokumen berkenaan secara tidak sah.
Enam lagi suspek masih diburu pihak berkuasa.
Siasatan awal mendapati sindiket itu dipercayai menguruskan kira-kira 240 kad identiti palsu antara 2021 hingga 2023 dengan mengenakan bayaran tinggi kepada pelarian, sekali gus menjana keuntungan sekurang-kurangnya 15 juta baht (kira-kira RM1.95 juta).
Polis Diraja Thailand berkata semakan dan pemutihan data sedang diperluaskan ke seluruh negara bagi membatalkan semua dokumen yang diperoleh secara tidak sah daripada pangkalan data rasmi kerajaan.
Selain pertuduhan pemalsuan dokumen, Pejabat Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLO) turut membekukan akaun kewangan suspek bagi meneliti aliran wang dan mengesan kemungkinan kaitan dengan aktiviti pemerdagangan manusia.