BANGKOK: Tentera Laut Diraja Thailand (RTN) dan Tentera Laut Amerika Syarikat (USN) akan bekerjasama menjalankan misi menyelamat HTMS Sukhothai yang karam di Teluk Thailand pada 2022.

Dalam satu kenyataan, Pejabat Hal Ehwal Awam Kedutaan Amerika Syarikat, Bangkok memaklumkan misi bersama itu akan dijalankan sebagai sebahagian daripada latihan Cobra Gold 2024 yang dijadual berlangsung dari 27 Feb hingga 10 Mac.

"Ia (misi menyelamat bersama) dilaksanakan susulan hubungan persahabatan yang terjalin antara kedua-dua tentera laut, melalui latihan bersama, operasi dan hubungan antara rakyat selama beberapa dekad.

"Kami komited untuk melaksanakan penyelamatan yang selamat dan menyeluruh bagi menghormati kelasi yang hilang, ahli keluarga dan rakan mereka," katanya.

HTMS 'Sukhothai', yang membawa 105 kelasi, mengalami kegagalan enjin dan tenggelam kira-kira 20 batu nautika dari Wilayah Prachuap Khiri Khan kira-kira 11.30 malam pada 18 Dis 2022.

RTN menyelamatkan 76 kelasi daripada kejadian itu tetapi 24 ditemukan mati manakala lima lagi hilang kerana gagal dijumpai.

-- BERNAMA