NEW DELHI: Tiada darurat kewangan di Pakistan sebaliknya kerajaan akan merangka pelan penjimatan, kata Menteri Kewangan, Miftah Ismail pada Isnin.

Beliau menyangkal spekulasi yang tular di media sosial, menyatakan kerajaan mungkin membekukan akaun bank rakyat Pakistan di luar negara di bawah inisiatif "Akaun Digital Roshan" di tengah-tengah krisis pertukaran asing.

"Tiada sama sekali rancangan untuk bekukan akaun mata wang asing atau Akaun Digital Roshan. Tidak pernah terlintas di fikiran kami dan kami juga tidak akan lakukannya," kata Miftah.

Pakistan berdepan kemelut untuk mendapatkan pembiayaan luar dan pada bulan lepas telah mengadakan perbincangan dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk meminjam wang.

Miftah berkata Perdana Menteri Shehbaz Sharif "akan mengumumkan langkah penjimatan untuk menjimatkan perbelanjaan kerajaan".

Langkah penjimatan itu termasuk mengurangkan hari bekerja untuk menjimatkan tenaga, pengurangan kuota bahan api birokrat serta larangan mewujudkan jawatan baharu dan pembelian kenderaan baharu di jabatan kerajaan, menurut laman sesawang The News.

"Tetapi tidak akan ada pengisytiharan darurat kewangan mahupun kecemasan kewangan. Selepas dua kenaikan harga petrol, kita telah keluar daripada krisis kewangan," kata Miftah.

Kerajaan Pakistan telah menaikkan harga petrol dan diesel sebanyak 60 rupee sejak beberapa hari kebelakangan ini, mencetuskan kemarahan dalam kalangan rakyat Pakistan dan meningkatkan kebimbangan mengenai tekanan inflasi.

-- BERNAMA