RIYADH: Presiden Joe Biden menegaskan Washington akan terus komited di rantau Asia Barat kerana tidak mahu membiarkan Rusia, China atau Iran mengisi lompang kosong andai rantau itu ditinggalkan Amerika Syarikat (AS).

"Kami tidak akan keluar dan meninggalkan lompang untuk diisi oleh China, Rusia atau Iran.

"Kita pada ketika ini akan secara aktif dan berprinsip membina kepemimpinan Amerika," lapor Agensi Anadolu memetik Biden pada Sidang Kemuncak Arab Saudi-AS di Jeddah. 

Sidang Kemuncak itu turut dihadiri anggota Majlis Kerjasama Teluk seperti Mesir, Jordan dan Iraq.

Biden menamatkan rangka lawatan empat hari ke Asia Barat pada Sabtu selepas melawat Arab Saudi, Israel dan Tebing Barat.

Lawatan itu dilihat sebagai cubaan AS mengukuhkan kepimpinannya mengatasi China dan Rusia selepas Moscow didakwa melancarkan operasi ketenteraan di Ukraine.

Berucap pada persidangan itu, Putera Mahkota Saudi, Mohammed Salman berkata, mesyuarat itu diadakan tepat pada masanya ketika dunia berdepan pelbagai cabaran besar.

Beliau turut menggesa Iran yang dianggap sebagai pesaing serantau di negara Teluk supaya bekerjasama dan tidak mencampuri hal ehwal serantau.

Terdahulu, Washington dan Riyadh mengeluarkan kenyataan bersama untuk berusaha menyekat campur tangan Iran di rantau itu selain mahu menghalang Tehran daripada memiliki senjata nuklear.

Sebelum sidang kemuncak bermula, Biden turut mengadakan pertemuan dengan Presiden Mesir, Abdel-Fattah al-Sisi; Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Khadhimi dan Presiden Emiriah Arab Bersatu, Sheikh Mohammed bin Zayed Al_Nahyan.

-- BERNAMA