Sekurang-kurangnya tiga orang dewasa ditemui mati dalam insiden tembakan dan bunuh diri pada malam sambutan Hari Krismas di Lakeland, Florida, Amerika Syarikat.

Pihak berkuasa Florida memaklumkan ketika kejadian empat kanak-kanak turut berada di dalam rumah itu.

Bagaimanapun, pegawai Jabatan Polis Lakeland, Kapten Ed Cain berkata, kesemua kanak-kanak tersebut berjaya dibawa keluar dengan selamat insiden tembakan itu.

"Jabatan Polis Lakeland menerima panggilan telefon kira-kira pukul 5.30 petang (waktu tempatan) berhubung insiden tembakan itu.

“Pegawai kami bergegas ke lokasi kejadian empat minit kemudian. Sebaik sahaja tiba di lokasi, terdapat tiga mangsa dewasa di dalam rumah itu yang meninggal dunia akibat kecederaan tembakan,” katanya seperti dilapor AP.

Kata Cain, kesemua kanak-kanak itu dianggarkan berusia bawah 10 tahun.

Setakat ini, penyiasat belum dapat mengenal pasti kesemua mangsa yang terbunuh dan hubungan mereka dengan kanak-kanak itu.