FUZHOU: Tiga hilang selepas tanah runtuh dan aliran lumpur di projek meratakan tanah di Wilayah Fujian, timur China, menurut pihak berkuasa tindak balas kecemasan daerah, lapor Xinhua.
Kejadian berlaku kira-kira 5 petang Sabtu di Perbandaran Bili, Daerah Luoyuan, dan setakat 11 malam, ketiga-tiga mangsa masih tidak dapat dikesan.
Setakat ini, dua rumah rosak, menurut satu kenyataan daripada ibu pejabat kecemasan Daerah Luoyuan.
Enam pasukan yang terdiri daripada 116 penyelamat profesional telah dikerahkan untuk mencari mangsa yang hilang dan menjalankan kerja-kerja tindak balas kecemasan.
Jalan yang disekat akibat kejadian itu telah dibuka semula, menurut kenyataan itu.
Daerah berkenaan akan meneruskan usaha mencari dan menyelamat, mengawal bencana sekunder, menentukan punca kejadian secepat mungkin dan menangani akibatnya, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA-XINHUA