WASHINGTON: Sekurang-kurangnya tiga maut manakala seorang cedera parah dalam kejadian tembakan di sebuah kilang di Maryland, Amerika Syarikat pada Khamis.

Suspek turut cedera dalam kejadian itu selepas berbalas tembakan dengan polis, kata pihak berkuasa.

Menurut Pejabat Sherif Daerah Washington, polis dikejarkan ke kilang Columbia Machine pada jam 2.30 petang waktu tempatan selepas mendapat panggilan kecemasan.

Suspek didapati telah melarikan diri selepas insiden itu namun berjaya ditahan di Hagerstown, sebuah bandar berdekatan.

"Insiden ini dipercayai kejadian terpencil dan ketika ini tiada ancaman kepada komuniti setempat," katanya dalam satu kenyataan.

Identiti suspek dan motif kejadian masih belum didedahkan.

Kilang Columbia Machine mengeluarkan peralatan untuk menghasilkan konkrit.