Tiga maut pesawat ringan terhempas di Lapangan Terbang Shellharbour

Mangsa dikenal pasti sebagai pemilik dan juruterbang pesawat, Andrew Connors, isterinya Julieanne Connors, serta penumpang Colin McLachlan. - Gambar media sosial.
NEW SOUTH WALES: Tiga maut selepas sebuah pesawat ringan terhempas di Lapangan Terbang Shellharbour, berhampiran Albion Park, Australia pagi Sabtu.
Menurut pihak polis, kejadian berlaku sekitar jam 10 pagi waktu tempatan (7 pagi waktu Malaysia), kira-kira 85 kilometer di selatan ibu negeri Sydney.
Menurut Akhbar The Sydney Morning Herald, mangsa dikenal pasti sebagai pemilik dan juruterbang pesawat, Andrew Connors, isterinya Julieanne Connors, serta penumpang Colin McLachlan.
Pesawat berkenaan dilaporkan baru sahaja berlepas dari landasan sebelum ia menjunam dan sayap kirinya dilihat menyentuh permukaan tarmac, menyebabkan pesawat terbakar sejurus kemudian.“Pesawat itu berlepas dari landasan dan naik kira-kira 30 meter ke udara sebelum ia menjunam ke bawah. Sayap kirinya menyentuh permukaan landasan dan terus terbakar.
“Malangnya, ketiga-tiga penumpang disahkan maut di tempat kejadian,” kata Ketua Polis Daerah Lake Illawarra, Inspektor Aaron Wunderlich kepada media.
Pegawai Bomba dan Penyelamat, Komander Andrew Barber, berkata pasukan kecemasan termasuk anggota bomba dari Rural Fire Service (RFS) yang kebetulan sedang menjalani latihan di lapangan terbang itu tiba dalam masa beberapa minit.
“Pesawat terbakar sepenuhnya sebaik kami tiba, disebabkan impak kemalangan yang kuat, tiada apa yang boleh dilakukan untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.
Tambahnya, pesawat jenis aluminium itu “terbakar hampir sepenuhnya” selepas terhempas.
“Satu sayap tercabut, dan selebihnya berada di tengah landasan dalam keadaan hangus, tidak banyak serpihan yang tinggal,” ujarnya
Pesawat jenis Piper Cherokee Lance itu dipercayai dibina sekitar tahun 1975, menurut Ketua Pesuruhjaya Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB), Angus Mitchell.
Polis berkata kawasan nahas kini ditutup sebagai zon siasatan, sementara Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (Australian Transport Safety Bureau) telah dimaklumkan dan akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami