Skip to main content

Dunia

Tiga tahun genosid di Gaza: CENTHRA desak Malaysia terajui usaha 'Uniting For Peace'

Malaysia perlu menerajui usaha menggunakan mekanisme ‘Uniting for Peace’ bagi menggerakkan tindakan kolektif antarabangsa berhubung perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan dan akauntabiliti di Gaza, kata CENTHRA. - Gambar fail/ AP
Malaysia perlu menerajui usaha menggunakan mekanisme ‘Uniting for Peace’ bagi menggerakkan tindakan kolektif antarabangsa berhubung perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan dan akauntabiliti di Gaza, kata CENTHRA. - Gambar fail/ AP

Advertisement

KUALA LUMPUR: Malaysia perlu menerajui usaha menggunakan mekanisme ‘Uniting for Peace’ bagi menggerakkan tindakan kolektif antarabangsa berhubung perlindungan orang awam, bantuan kemanusiaan dan akauntabiliti di Gaza, kata Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA).

Pengerusinya, Azril Mohd Amin berkata, mekanisme itu boleh digunakan apabila Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) gagal bertindak akibat kebuntuan.

Beliau berkata, Malaysia perlu bekerjasama dengan negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan negara lain melalui Resolusi Perhimpunan Agung PBB 377(V) atau ‘Uniting for Peace’.

“Tiga tahun selepas 7 Oktober 2023, dunia bukan sekadar berdepan genosid dan jenayah kemanusiaan, tetapi krisis undang-undang antarabangsa yang menuntut perlindungan orang awam, penghentian pelanggaran, keadilan dan akauntabiliti,” katanya dalam kenyataan sempena ulang tahun ketiga konflik Gaza, pada Rabu.

Menurut Azril, berdasarkan angka yang dilaporkan kepada PBB, sekurang-kurangnya 73,035 rakyat Palestin terbunuh manakala 173,368 lagi cedera di Gaza antara 7 Oktober 2023 hingga 21 Jun 2026.

Katanya, angka sebenar berkemungkinan lebih tinggi berikutan masih terdapat mangsa yang hilang atau tertimbus di bawah runtuhan.

Azril berkata, tempoh tiga tahun itu turut menyaksikan pemindahan paksa, kebuluran, kemusnahan kediaman dan infrastruktur awam serta keruntuhan sistem kesihatan, pendidikan, air dan sanitasi.

Menurutnya, PBB pada September lalu masih melaporkan kira-kira dua pertiga kawasan Gaza tidak dapat diakses atau tertakluk kepada sekatan akses yang serius, manakala serangan dan penggunaan kekerasan terus berlaku walaupun selepas gencatan senjata pada Oktober 2025.

Azril berkata, perubahan bentuk atau intensiti serangan tidak menghapuskan kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa untuk melindungi orang awam, memastikan akses kemanusiaan serta mencegah dan menghukum jenayah antarabangsa.

Dalam pada itu, Azril berkata, prosiding kes Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide in the Gaza Strip (South Africa v. Israel) di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) masih berjalan.

Katanya, proses kehakiman itu perlu dihormati sepenuhnya, namun kewujudan prosiding tidak seharusnya menjadi alasan masyarakat antarabangsa menunggu secara pasif ketika pelanggaran terus berlaku.

"CENTHRA turut menggesa waran tangkap Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan Israel, Yoav Gallant, tidak kekal sekadar dokumen.

"ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap kedua-dua individu itu pada 21 November 2024 atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan, termasuk penggunaan kebuluran sebagai kaedah peperangan serta serangan terhadap penduduk awam," ujarnya.

Dalam masa sama, Azril menggesa Malaysia dan negara anggota OIC menjalankan usaha wajar terhadap hubungan ekonomi, perdagangan, pelaburan, perolehan, kewangan dan kerjasama lain yang berpotensi menyumbang kepada pengekalan pendudukan, penempatan atau eksploitasi sumber di Wilayah Palestin yang Diduduki.

Selain itu, organisasi berkenaan mahu bantuan kemanusiaan seperti makanan, air, ubat-ubatan, rawatan kesihatan dan keperluan asas dipastikan secara berterusan, selamat, pantas dan tanpa halangan yang dilarang undang-undang antarabangsa.

Ia turut menggesa Malaysia, OIC dan masyarakat antarabangsa memperkukuh pembiayaan kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), selain menyokong pemulihan sistem kesihatan, pendidikan, air, sanitasi dan infrastruktur awam di Gaza.

Azril berkata, bukti berkaitan pembunuhan, pemindahan paksa, kebuluran, serangan terhadap orang awam, kemusnahan objek awam dan pelanggaran undang-undang antarabangsa juga perlu terus didokumentasikan serta dipelihara mengikut piawaian yang sesuai.

Menurutnya, bukti berkenaan boleh disalurkan kepada ICC, PBB, badan penyiasatan antarabangsa dan forum kehakiman yang mempunyai bidang kuasa apabila berkaitan.

Azril turut menegaskan, isu pendudukan dan hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri perlu menjadi teras dalam usaha menyelesaikan konflik, bukan sekadar mengurus kesannya.

Ia merujuk Pendapat Nasihat ICJ pada 19 Julai 2024 yang memutuskan kehadiran berterusan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki adalah tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa serta Israel mempunyai kewajipan untuk menamatkannya secepat mungkin.

“Undang-undang antarabangsa tidak boleh tunduk kepada kuasa politik dan tidak boleh dipilih-pilih mengikut kepentingan geopolitik.

“Palestin tidak memerlukan simpati tanpa tindakan; rakyat Palestin memerlukan perlindungan, keadilan dan akauntabiliti,” kata beliau lagi.

Must Watch Video

Advertisement