awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
  • BM
    EN
  • LIVE
  • Daftar
awani
  • LIVE
  • Video
  • Malaysia
  • Dunia
  • Politik
  • Hiburan
  • Bisnes
  • Sukan
  • Rancangan
  • Gaya Hidup
  • Lain-Lain
    • Teknologi
    • Podcast
Lain-Lain
  • Teknologi
  • Podcast
Rani Kulup ditidurkan di zon merah HUKM
Penceramah bebas dijel 10 hari gagal lunas hutang kahwin RM120,000
Laporan siasatan kes Danish Irfan siap dua minggu lagi
  • POLISI PRIVASI
  • TERMA PENGGUNAAN
  • IKLAN BERSAMA KAMI
  • PELABUR

© 2025 Astro AWANI Network Sdn. Bhd. 200001032668(535275-D) All Rights Reserved.

Tindakan tarif AS cetus situasi 'sama-sama rugi', seru dialog dan kerjasama - Presiden ECB

Bernama
Bernama
14/06/2025
21:50 MYT
Tindakan tarif AS cetus situasi 'sama-sama rugi', seru dialog dan kerjasama - Presiden ECB
Lagarde memberi amaran bahawa ketidaktentuan boleh menjadi beban kepada prestasi ekonomi - bukan sahaja kepada perniagaan dan pelabur, malah juga kepada bank pusat. - Gambar fail/AP
BEIJING: Presiden Bank Pusat Eropah (ECB) Christine Lagarde memberi amaran tegas terhadap peningkatan langkah perlindungan perdagangan, dengan menyatakan bahawa tindakan tarif terbaharu oleh Amerika Syarikat menimbulkan ketidaktentuan, menjejaskan keyakinan dan pelaburan, serta membawa risiko kepada pertumbuhan global.
Dalam satu wawancara bersama Xinhua baru-baru ini, Lagarde menyifatkan trend semasa ke arah pemecahan ekonomi sebagai situasi "sama-sama rugi", dan menyeru pematuhan kepada peraturan multilateralisme serta dialog berterusan bagi melindungi ekonomi global yang saling berkait.
"Paras ketidaktentuan yang berpunca daripada pengumuman atau ancaman keputusan telah melemahkan pelaburan," katanya. "Ia menyebabkan semua institusi menurunkan unjuran pertumbuhan bagi ekonomi global ... Inilah situasi sama-sama rugi yang sedang kita hadapi kini."
Beliau menegaskan bahawa penghapusan ketidaktentuan dan mencapai persetujuan - khususnya berkaitan tarif dan halangan bukan tarif - akan memberi manfaat kepada semua pihak.
Ketua ECB itu turut memberi amaran bahawa ketidaktentuan itu sendiri boleh menjadi beban kepada prestasi ekonomi - bukan sahaja kepada perniagaan dan pelabur, malah juga kepada bank pusat yang cuba meramalkan dan melaksanakan dasar secara berkesan.
"Pemain ekonomi, pelabur dan majikan menghadapi kesukaran besar dalam berdepan ketidaktentuan," katanya. "Kami sebagai bank pusat turut menghadapi perkara yang sama ... apabila wujud ketidaktentuan besar ini, ia menyukarkan tugas kami."
Lagarde menambah bahawa semua negara "terikat secara langsung melalui rantaian bekalan", dan pemecahan ekonomi sama ada melalui tarif atau pemisahan strategik merupakan ancaman kepada kemakmuran bersama.
Beliau berkata ketidaktentuan yang berpanjangan boleh memaksa syarikat mengkaji semula rantaian bekalan mereka, sekali gus meningkatkan kerentanan, memperlahankan pertumbuhan, dan mencetus tekanan inflasi.
"Jika situasi ini tidak diselesaikan dengan baik dan ketidaktentuan tidak dihapuskan, dunia korporat akan menilai semula rantaian bekalan mereka ... dan ini akan menyebabkan lebih banyak kerentanan, satu tempoh ketidaktentuan yang mungkin menjejaskan pertumbuhan, dan boleh mencetuskan tekanan inflasi," katanya.
Sempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik China-Kesatuan Eropah (EU) tahun ini, Lagarde menyatakan harapan agar kedua-dua pihak terus komited terhadap dialog dan kerjasama berasaskan peraturan.
"Saya amat berharap ... China dan EU akan terus bekerjasama, meneruskan dialog, bersikap jujur antara satu sama lain dan mematuhi peraturan yang telah dipersetujui bersama," katanya. "Saya percaya tekad untuk berdialog, bekerjasama dan mencari penyelesaian menang-menang akan terus dikongsi bersama."
Beliau turut menekankan kepentingan kerjasama antara ECB dan Bank Rakyat China.
"Kami berkongsi beberapa kebimbangan dan cabaran yang sama serta mempunyai dialog yang kukuh dan mendalam," katanya. "Kami sama-sama komited terhadap rangka kerja kawal selia dan pengawasan yang menyokong kestabilan kewangan."
-- BERNAMA
Topic Berkaitan
#perlindungan perdagangan
#tarif AS
#CHRISTINE LAGARDE
#China
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami
Iklan