Skip to main content

Dunia

Tokoh revolusi Cuba, Ramiro Valdes meninggal dunia pada usia 94 tahun

FILE PHOTO: Commander of the Revolution and Cuba's former Vice President Ramiro Valdes looks at Cuba's President Miguel Diaz-Canel during a visit to the 3rd International Exhibition of Renewable Energy and Energy Efficiency, in Havana, Cuba September 20, 2024. REUTERS/Norlys Perez/File Photo
Ramiro Valdes (gambar), antara sekutu terawal Fidel Castro yang disanjung sebagai wira revolusi Cuba, meninggal dunia pada usia 94 tahun, menurut Presiden Miguel Diaz-Canel menerusi media sosial pada Ahad. - Gambar fail Astro
Advertisement

HAVANA: Ramiro Valdes, antara sekutu terawal Fidel Castro yang disanjung sebagai wira revolusi Cuba, meninggal dunia pada usia 94 tahun, menurut Presiden Miguel Diaz-Canel menerusi media sosial pada Ahad.

Punca kematian Valdes, bagaimanapun, tidak didedahkan.

Valdes merupakan tokoh penting kerajaan selama beberapa dekad selepas pemberontak pimpinan Castro mengambil alih kuasa pada 1959. 

Beliau memegang gelaran kehormat “Wira Republik” dan “Komander Revolusi”, selain menjadi ahli Biro Politik Parti Komunis Cuba sehingga 2019.

Menerusi hantaran di platform X, Díaz-Canel menyifatkan pemergian Valdes sebagai satu kehilangan besar.

“Pemergiannya amat menyentuh hati, seperti kehilangan seorang bapa,” katanya.

“Sehingga kemenangan, selamanya, Komander!”

Dilahirkan pada 28 April 1932, Valdes berusia 21 tahun ketika menyertai Fidel Castro dalam serangan ke atas berek Moncada yang mencetuskan kebangkitan menentang kerajaan Fulgencio Batista pada 1953.

Beliau kemudian hidup dalam buangan bersama Castro di Mexico sebelum kembali ke Cuba pada 1956 menaiki kapal layar Granma bersama 81 pejuang lain untuk menghidupkan semula pemberontakan. 

Hanya 12 daripada mereka terselamat, termasuk Castro, adiknya Raul Castro serta revolusioner Argentina, Ernesto “Che” Guevara.

Valdes menyertai perjuangan di kawasan pergunungan Sierra Maestra di timur Cuba dan berkhidmat sebagai timbalan komander kepada Guevara. 

Beliau turut bertempur dalam Pertempuran Santa Clara yang menjadi detik penting menjelang kejatuhan Batista pada 1 Januari 1959.

Selepas kemenangan revolusi, Valdes mengetuai agensi keselamatan yang ditubuhkan oleh kerajaan Castro.

Dikenali dengan penampilan beruniform hijau zaitun, beliau berkongsi karisma seperti Castro dan Guevara, termasuk mengekalkan gaya janggut khas sepanjang hayatnya.

Seorang yang mementingkan kecergasan, Valdes terus mengamalkan rutin senaman hingga usia lanjut.

Sepanjang kariernya, beliau pernah memegang pelbagai jawatan penting termasuk Menteri Dalam Negeri, Timbalan MenteriPpertahanan, Menteri Maklumat dan Komunikasi serta Naib Presiden.

Walaupun berlaku peralihan kuasa kepada generasi baharu di bawah kepimpinan Díaz-Canel pada 2018, Valdes kekal memainkan peranan utama dalam pentadbiran, termasuk sebagai Timbalan Perdana Menteri yang memberi tumpuan kepada krisis tenaga di negara itu.

Beliau turut aktif dalam menangani isu gangguan bekalan elektrik, sering dilihat tampil bersama Diaz-Canel menggesa rakyat menjimatkan penggunaan tenaga dan mengekalkan semangat revolusi.

Valdes kekal setia kepada perjuangan revolusi, kepimpinan serta sistem satu parti sepanjang hayatnya, termasuk ketika negara berdepan cabaran sukar.

“Kita tidak boleh lupa bahawa kita sampai ke tahap ini hasil perpaduan rakyat dan kepercayaan mereka terhadap revolusi,” katanya semasa sambutan ulang tahun ke-61 serangan Moncada pada 2014.

“Kita mesti mempertahankan perpaduan ini kerana perjuangan ini masih belum berakhir.” - Agensi

Must Watch Video

Advertisement