Tokoh terkenal tandatangani surat gesa pembangunan kecerdasan super buatan dihentikan

Surat itu memberi amaran mengenai risiko yang dibawa oleh kecerdasan super buatan, termasuk kesan terhadap ekonomi dan pekerjaan, kehilangan kebebasan, ancaman terhadap keselamatan negara dan juga potensi kepupusan manusia. - Gambar hiasan
MOSCOW: Lebih 900 individu, termasuk Putera Harry dari United Kingdom (UK) dan isterinya Meghan Markle, bekas penasihat presiden Amerika Syarikat (AS) Steve Bannon serta pengasas bersama Apple Steve Wozniak, telah menandatangani surat terbuka yang menggesa supaya pembangunan kecerdasan super buatan dihentikan, lapor Sputnik/RIA Novosti.
"Kami menyeru agar pembangunan kecerdasan super buatan dilarang dan larangan itu tidak ditarik balik sehingga wujud konsensus saintifik yang meluas bahawa ia akan dilakukan dengan selamat dan terkawal, serta mendapat sokongan padu orang ramai," menurut kenyataan yang disiarkan di laman sesawang inisiatif itu.
Seramai 973 penandatangan termasuk lima penerima Hadiah Nobel, penasihat Paus dalam bidang teknologi dan AI, profesor universiti, ahli politik, bekas Presiden Ireland Mary Robinson, bilionair UK Richard Branson, pelakon Stephen Fry, penyanyi rap Will.I.am dan penyanyi Grimes, bekas teman wanita Elon Musk.
Surat itu memberi amaran mengenai risiko yang dibawa oleh kecerdasan super buatan, termasuk kesan terhadap ekonomi dan pekerjaan, kehilangan kebebasan, ancaman terhadap keselamatan negara dan juga potensi kepupusan manusia.-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami