Dunia perlu menolak persepsi mengaitkan aktiviti keganasan dan ekstremisme dengan sesuatu agama, kaum atau kewarganegaraan.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, ia rentetan kesedaran keganasan dan ekstremisme merupakan cabaran global yang melangkaui budaya, agama, dan sempadan.

"Namun, orang Islam perlu mengakui wujudnya persepsi negatif terhadap agama Islam yang telah dikaitkan dengan keganasan, disebabkan oleh manipulasi ajaran Islam oleh puak-puak pengganas.

"Kita juga mengecam pendirian puak pengganas yang cuba menjustifikasi kekejaman yang dilakukan oleh mereka atas nama dan ajaran Islam.

"Kerana itu, masyarakat antarabangsa perlu menangani punca-punca asas keganasan seperti penindasan dan ketidakadilan yang berterusan, penjajahan, serta pencabulan hak asasi manusia yang melampau, yang telah menguatkan lagi naratif puak pengganas," katanya dalam satu kenyataan semasa lawatan kerja ke New York bagi menghadiri mesyuarat di Perhimpunan Agung dan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pada Rabu, Reezal menyertai mesyuarat di peringkat Menteri di Majlis Keselamatan PBB yang dipengerusikan oleh Menteri Luar Egypt, Sameh Shoukry.

Mesyuarat itu mengenai 'Cabaran ke atas Keamanan dan Keselamatan Sejagat disebabkan oleh Ancaman Keganasan: Menentang Naratif dan Ideologi Keganasan'.

Semasa mesyuarat tersebut, Jan Eliasson, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Jan Eliasson, Setiausaha Agung Akademi Penyelidikan Islamik Al-Azhar, Mohi El-Din Afifi dan Timbalan Presiden yang juga Timbalan Penasihat Undang-Undang Microsoft Corporation, Steven A. Crown memberi taklimat serta berkongsi pandangan dan pengalaman dalam usaha-usaha menentang ideologi dan naratif keganasan di peringkat antarabangsa.

Pengaruh puak pengganas

Dalam pada itu jelas Reezal, sekiranya punca-punca asas keganasan ini ditangani, pengaruh puak pengganas untuk memanipulasi situasi sosio-politik bagi meraih simpati dan merekrut anggota baru akan dapat dikurangkan.

"Kita turut mengkritik tindak balas histerikal yang hanya akan memecah-belahkan masyarakat, seperti mendiskriminasi atau menggelar golongan tertentu sebagai pengganas hanya berdasarkan agama atau kaum mereka.

"Hasil dari mesyuarat tersebut, Majlis Keselamatan PBB telah mengeluarkan satu Kenyataan Presiden Majlis. Kenyataan tersebut, antara lain, menggesa pihak PBB untuk mempelopori usaha bagi menghasilkan satu strategi antarabangsa yang menyeluruh bagi menentang naratif dan ideologi keganasan, sebelum 30 April 2017," jelasnya.

Sementara itu, Reezal turut mengesahkan komitmen Malaysia terhadap operasi pengaman PBB, berdasarkan prinsip keselamatan kolektif dan penyelesaian konflik secara aman.

"Kita menekankan prinsip dan pendekatan kesederhanaan bagi mempromosi masyarakat yang inklusif dan bagi membentuk agenda keamanan, keharmonian dan kestabilan.

"Kita turut menegaskan kepentingan kerjasama perkongsian di antara PBB dan organisasi-organisasi serantau di dalam mengekalkan keamanan dan keselamatan, termasuk ASEAN," ujarnya susulan penyertaan dalam Debat Tematik Peringkat Tinggi di Perhimpunan Agung PBB berhubung isu keamanan dan Keselamatan yang bertajuk: 'Dunia Berisiko: Komitmen Baru ke Arah Keamanan' pada Selasa.

Semasa program debat itu, Timbalan Setiausaha Agung PBB, Jan Eliassan menyampaikan kenyataan bagi pihak Setiausaha Agung Ban Ki-moon yang menegaskan perlunya bagi PBB untuk menjalankan kajian semula ke atas polisi berkaitan pencegahan konflik, penyelesaian politik jangka panjang dan kerjasama perkongsian utuh dalam menangani konflik-konflik global yang semakin mencabar dan kompleks.

Antara negara-negara ahli PBB yang diwakili oleh Menteri atau Timbalan Menteri ialah Mesir, Sweden, Argentina, Mexico, Kazakhstan, New Zealand, Norway, Belanda, Iceland, Switzerland, Itali, Jerman, Jepun, dan Denmark.

Penyertaan Malaysia ke mesyuarat-mesyuarat peringkat tinggi tersebut mencerminkan komitmen serius negara dalam kerjasama dengan PBB mengenai pelbagai isu-isu global, terutamanya yang berkaitan dengan keamanan dan keselamatan.