AMMAN: Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Antony Blinken memberi jaminan kepada pemimpin Arab bahawa Washington menentang pemindahan secara paksaan penduduk Palestin dari Gaza atau Tebing Barat.

Jaminan itu diberikan Blinken ketika beliau ingin memulakan perbincangan mengenai masa depan Gaza selepas perang.

Raja Jordan Abdullah telah membangkitkan kebimbangan negaranya mengenai perpindahan paksa penduduk Palestin kepada Blinken semasa pertemuan mereka di Amman.

Israel meneruskan kempen ketenteraannya yang telah mengubah sebahagian besar Gaza menjadi runtuhan dan meninggalkan 2.3 juta penduduknya di ambang kehancuran dan kebuluran.

Blinken berkata, orang awam Palestin mesti boleh pulang ke tanah air sebaik sahaja keadaan mengizinkan.

Mereka juga, kata Blinken, tidak boleh ditekan untuk meninggalkan Gaza.

Kebanyakan penduduk Gaza telah kehilangan tempat tinggal akibat konflik itu dan keganasan turut berlaku di Tebing Barat termasuk pertempuran maut di bandar Jenin pada Ahad.

Raja Abdullah memberitahu Blinken bahawa Washington mempunyai peranan utama dalam menekan Israel ke arah gencatan senjata serta-merta.

Raja Abdullah turut memberi amaran tentang "akibat malapetaka" kesinambungan perang di Gaza.

Blinken, dalam rangka lawatan ke Asia Barat di tengah-tengah kebimbangan yang memuncak, berkata bahawa serangan israel terhadap hamas di Gaza akan mencetuskan peperangan serantau yang lebih luas.

Lawatan ini menyusul pembunuhan pemimpin kanan Hamas di Beirut, Lubnan.

Washington juga sedang mengumpulkan sekutu untuk menghalang serangan ke atas armada kapal di Laut Merah oleh Houthi yang menguasai sebahagian besar Yaman.

Blinken tiba di Jordan lewat pada Sabtu dan bertemu Raja Abdullah pada Ahad sebelum ke Qatar untuk pertemuan dengan Emir Sheikh Tamim bin Hamad al-Thani dan Perdana Menteri Mohammed bin Abdulrahman al-Thani.

Di Doha, Blinken berkata, perbincangan termasuk usaha membebaskan lebih 100 tebusan yang masih dipercayai ditahan oleh Hamas.

Perdana Menteri Watar berkata, pembunuhan seorang pemimpin Hamas oleh serangan dron Israel telah menjejaskan keupayaan Doha untuk menjadi pengantara antara kumpulan Palestin dan Israel.