Skip to main content
Advertisement

Malaysia

Pulau Pinang intai lebih banyak penerbangan terus ke utara China

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri Pulau Pinang, Wong Hon Wai
Wong Hon Wai berkata, Qingdao pada masa ini merupakan satu-satunya bandar di utara China yang mempunyai sambungan penerbangan terus ke Pulau Pinang, menjadikan pengembangan ketersambungan ke wilayah tersebut sebagai salah satu keutamaan negeri.
Advertisement

GEORGE TOWN: Pulau Pinang sedang meneroka pembukaan lebih banyak laluan udara terus ke bandar-bandar di utara China, bagi memperluas ketersambungan negeri tersebut dan mempelbagaikan pasaran pelancongannya dari negara berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai berkata, Qingdao pada masa ini merupakan satu-satunya bandar di utara China yang mempunyai sambungan penerbangan terus ke Pulau Pinang, menjadikan pengembangan ketersambungan ke wilayah tersebut sebagai salah satu keutamaan negeri.

“Pada masa ini, ketersambungan terus antara Pulau Pinang dan bandar-bandar di utara China masih agak terhad.

“Oleh itu, Pulau Pinang menyasarkan untuk memperluas liputan pasaran pelancongan China dan mengembangkan rangkaian penerbangannya ke lebih banyak bandar di utara China,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wong berkata, perkara tersebut adalah antara isu yang dibincangkan ketika beliau mengetuai Penang Global Tourism dalam sesi libat urus dengan wakil beberapa syarikat penerbangan yang berpangkalan di China yang ada di Malaysia, semasa majlis sambutan Festival Pertengahan Musim Luruh di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Beliau berkata, sesi libat urus itu bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan pemahaman awal mengenai kadar muatan penumpang dan trend pasaran, bagi penerbangan terus ke Pulau Pinang semasa tempoh cuti panjang yang akan datang di China, tetapi juga berfungsi sebagai platform perancangan jangka pendek dan sederhana bagi mengembangkan ketersambungan udara.

“Majlis perjumpaan ini menyediakan platform penting bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyampaikan minat dan hasrat yang tinggi kepada industri penerbangan China, bagi terus meneroka laluan ke utara China.

“Ia juga meletakkan asas yang kukuh untuk perbincangan peringkat seterusnya mengenai potensi pembukaan penerbangan terus antara Pulau Pinang dan lebih banyak bandar di utara China,” katanya.

Wong berkata, Pulau Pinang pada masa ini mempunyai penerbangan terus ke beberapa bandar utama di China, termasuk Guangzhou, Xiamen, Shanghai, Shenzhen, Chengdu dan Qingdao, serta Hong Kong.

Hainan Airlines pula akan melancarkan laluan terus sulungnya dari Haikou ke Pulau Pinang pada 11 Okt, seterusnya mengukuhkan lagi ketersambungan udara antara Pulau Pinang dan bandar-bandar di seluruh China.

Sementara itu, Wong berkata, pertemuan dengan syarikat-syarikat penerbangan China itu juga bertujuan untuk mengukuhkan laluan sedia ada dan memastikan operasi penerbangan yang stabil, di samping meneroka peluang dengan syarikat penerbangan yang pada masa ini belum menyediakan penerbangan terus ke Pulau Pinang.

“Dengan menghubungkan pelbagai pihak berkepentingan dan memudahkan pertukaran maklumat, kami menyasarkan untuk membina perkongsian yang lebih erat dan mampan, bagi mewujudkan keadaan yang lebih kondusif untuk Pulau Pinang terus mengembangkan rangkaian penerbangan dan pasaran pelancongannya di China,” katanya.

Beliau berkata, pertemuan itu juga mengambil kira persiapan bagi musim puncak perjalanan keluar China yang akan datang, berikutan cuti Festival Pertengahan Musim Luruh dan Hari Kebangsaan, yang membolehkan pelancong menikmati percutian sehingga 13 hari berturut-turut.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement