SEOUL: People Power Party (PPP) yang memerintah Korea Selatan pada Rabu berikrar untuk mengambil tindakan ke atas mereka bertanggungjawab selepas pendedahan menunjukkan bahawa polis tidak bertindak walaupun telah menerima banyak panggilan mengenai tahap bahaya bilangan orang ramai pada malam tragedi Itaewon.

Wakil Chung Jin-suk, ketua sementara PPP berkata parti itu memegang tanggungjawab ke atas kemalangan yang mengorbankan 156 orang dan akan melakukan segala yang boleh untuk mengelakkan kemalangan serupa daripada berlaku, lapor agensi berita Yonhap.

"Kami berasa amat kasihan kepada rakyat. ... Perlu ada jawapan mengapa polis membuat keputusan yang salah walaupun selepas melawat tempat kejadian empat kali sebelum ini dan mengapa polis tidak mengambil langkah sewajarnya, seperti menghantar skuad," ia melaporkan Chung sebagai berkata.

Polis didapati menerima 112 panggilan kecemasan daripada orang ramai yang bimbang tentang kemungkinan berlakunya rempuhan bermula kira-kira empat jam sebelum bencana terburuk dalam sejarah Korea Selatan itu berlaku pada malam Sabtu lepas di Itaewon, daerah hiburan malam yang popular di Seoul.

Pada Selasa, ketua Agensi Polis Negara Yoon Hee-keun mengadakan sidang akhbar dan memohon maaf atas tindakan polis yang "tidak mencukupi" dan berjanji untuk menjalankan siasatan dalaman.

"Kami bercadang membentuk jawatankuasa khas untuk menyiasat kemalangan Itaewon yang terdiri daripada parti pemerintah dan pembangkang serta pakar sejurus selepas tempoh berkabung negara berakhir," kata Chung, sambil menyatakan kemalangan itu harus dianalisis dengan tepat untuk menyediakan langkah pencegahan yang sesuai dengan undang-undang negara dan sistem pengurusan awam.

Tempoh berkabung ditetapkan sehingga Sabtu ini.

Pada Rabu PPP memutuskan untuk mengemukakan rang undang-undang untuk menyemak semula Akta Rangka Kerja Pengurusan Bencana dan Keselamatan bagi memperkukuh pengurusan keselamatan dengan membuat ketua majlis perbandaran bertanggungjawab ke atas acara tanpa penganjur dan menghantar mesej teks kecemasan berdasarkan data kepadatan penduduk daripada syarikat telekomunikasi mudah alih.

-- BERNAMA