Skip to main content
Advertisement

Dunia

Transformasi AI dalam TVET perlu pendekatan berorientasikan manusia

SHANGHAI, Sept 24 - Kenya School of TVET National ODeL Coordinator Joseph Orina Makori (centre) says interest in artificial intelligence (AI) is growing across developing regions, but challenges such as unstable electricity supply, limited Internet access and high usage costs remain major barriers for underserved communities. He says AI has the potential to transform Technical and Vocational Education and Training (TVET), provided infrastructure gaps are addressed,_BERNAMA
Bercakap pada sesi perbincangan panel di Persidangan WorldSkills di Shanghai semalam, Joseph Orina Makori (tengah) berkata, minat terhadap AI semakin meningkat di negara-negara membangun, tetapi cabaran seperti bekalan elektrik tidak stabil, akses internet terhad serta kos penggunaan tinggi terus jadi halangan utama. --fotoBERNAMA
Advertisement

SHANGHAI: Kecerdasan Buatan (AI) mempunyai potensi transformatif dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), namun, kejayaan pelaksanaannya bergantung pada usaha merapatkan jurang infrastruktur, memperkasakan tenaga pengajar serta mengutamakan kemahiran penting yang berorientasikan manusia.

Koordinator ODeL Nasional dalam bidang TVET, Kenya School of TVET, Joseph Orina Makori berkata, walaupun minat terhadap AI adalah tinggi di negara-negara membangun, halangan asas seperti bekalan elektrik tidak stabil dan kos token yang tinggi masih menjadi cabaran besar bagi komuniti yang kurang mendapat akses kepada teknologi.

Beliau berkata, institusi berkenaan kini melaksanakan model AI sumber terbuka secara dalam talian bagi menilai kualiti pentaksiran dan melancarkan proses penilaian tenaga pengajar tanpa bergantung kepada ketersambungan Internet yang berterusan.

"Di Kenya, kami melaksanakan projek yang mengutamakan rakyat. Kami menjalankan banyak latihan supaya semua orang dapat mengikuti perkembangan semasa dengan lebih pantas, dan kami juga menggalakkan penggunaan bahan latihan yang boleh diakses oleh semua pihak agar tiada sesiapa yang tercicir," katanya semasa sesi perbincangan panel di Persidangan WorldSkills, di sini, semalam.

Bertemakan “AI, Kemahiran dan Masa Depan TVET”, perbincangan itu diadakan sempena Worldskills Competition (WSC) Shanghai 2026, yang menghimpunkan pemimpin TVET, tenaga pengajar serta wakil belia dari seluruh dunia bagi membentuk masa depan pembangunan dalam bidang kemahiran.

Sementara itu, wakil Worldskills Champions Trust bagi rantau Asia Barat dan Afrika Utara, Narmeen Almarzooqi mengetengahkan keupayaan AI untuk memperibadikan pembelajaran dengan menukar bahan bacaan yang panjang kepada gambar rajah visual atau audio siar, sambil menekankan bahawa teknologi tersebut tidak dapat menggantikan pemikiran kritis manusia.

Beliau berkata, walaupun AI boleh membantu pelajar membuat persediaan untuk mengikuti pembelajaran, proses pembelajaran di dalam bilik darjah masih memerlukan interaksi manusia yang sebenar, dengan tenaga pengajar berperanan sebagai fasilitator dan bukannya sekadar menyampaikan maklumat, bagi memupuk kemahiran berfikir secara kritis.

"Jadi, mewujudkan kaedah pembelajaran di dalam bilik darjah yang baharu dengan memanfaatkan AI tetapi pada masa sama, membantu mengasah kemahiran insaniah seperti pemikiran kritis yang mungkin tidak diperoleh melalui AI, adalah sesuatu yang menakjubkan," katanya.

Berdasarkan pengalamannya di Universiti Zayed, Emiriah Arab Bersatu, Narmeen berkata, penggunaan tutor AI dan laluan pembelajaran antara disiplin membolehkan pelajar meneroka pelbagai pilihan kerjaya serta menyemak tugasan mereka secara kendiri.

"Semasa pengajian, saya menggunakan AI untuk meneroka pelbagai laluan kerjaya dan menghubungkan laluan pembelajaran semata-mata kerana ingin tahu ke mana saya boleh pergi dengan ijazah yang saya peroleh," katanya.

Seramai 22 anak muda Malaysia menyertai pertandingan dalam 21 bidang kemahiran yang diiktiraf di peringkat antarabangsa pada WSC Shanghai 2026, yang menghimpunkan 1,400 tenaga mahir muda terbaik dari lebih 65 negara dalam 64 bidang kemahiran.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement