DUNIA
Trump ancam ambil alih pentadbiran Washington susulan insiden keganasan

Presiden Donald Trump memberi amaran bahawa kerajaan Persekutuan mungkin akan mengambil alih pentadbiran Washington susulan kejadian serangan terhadap seorang kakitangan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di ibu negara itu. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump memberi amaran bahawa kerajaan Persekutuan mungkin akan mengambil alih pentadbiran Washington susulan kejadian serangan terhadap seorang kakitangan Jabatan Kecekapan Kerajaan (DOGE) di ibu negara itu.
Dalam sidang media di White House, Trump menegaskan, serangan ke atas individu terbabit menunjukkan kegagalan kerajaan tempatan untuk mengekalkan keselamatan dan ketenteraman awam.
“Seseorang daripada DOGE telah diserang teruk malam tadi oleh sekumpulan penjenayah di D.C. Jika mereka tidak memperbetulkan urus tadbir dan sistem perlindungan mereka, kita tiada pilihan selain memfederalisasikan dan mengurus bandar ini seperti sepatutnya,” katanya kepada wartawan.
Trump turut menekankan bahawa pemotongan perbelanjaan kerajaan akan terus dilakukan dengan pendekatan yang teliti.“Mereka sedang membuang individu yang tidak menjalankan tugas atau dasar yang merosakkan,” jelas Trump sambil menambah beliau mahu ‘orang-orang pintar’ berada dalam kerajaan bagi memastikan Amerika terus berjaya.
Dalam kenyataan berasingan menerusi platform Truth Social, Trump menggesa, perubahan undang-undang di Washington bagi membolehkan pesalah juvana berusia seawal 14 tahun didakwa sebagai orang dewasa.
“Undang-undang di D.C. mesti diubah untuk mendakwa ‘remaja’ ini sebagai orang dewasa dan dipenjarakan dalam tempoh yang lama,” tulis Trump.
Tambahnya lagi, “Jika D.C. tidak memperbaiki pentadbirannya dan dengan segera, kita tiada pilihan selain mengambil alih pentadbiran bandar ini di bawah kawalan Persekutuan.”
Washington berada di bawah bidang kuasa khas sebagai wilayah Persekutuan, namun, kerajaan tempatan masih mempunyai kuasa tertentu dalam aspek pentadbiran dan keselamatan.
Cadangan Trump ini dijangka mencetuskan perdebatan baharu mengenai autonomi wilayah tersebut. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami