Trump ancam kenakan tarif 100 peratus terhadap Kanada jika Ottawa adakan perjanjian dengan China

Presiden AS itu menggelar Perdana Menteri, Mark Carney sebagai "Gabenor" dan berkata beliau akan "silap besar" jika membenarkan Kanada menjadi "pelabuhan persinggahan" bagi produk China yang ditujukan untuk pasaran Amerika. - Gambar Reuters
ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Sabtu mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas semua barangan Kanada yang memasuki negara itu jika Ottawa mencapai sebarang perjanjian perdagangan dengan Beijing, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Ringkasan AI
- Donald Trump mengancam untuk mengenakan tarif 100 peratus ke atas barangan Kanada jika Kanada berurusan dengan China dalam perjanjian perdagangan.
- Trump bersikap keras terhadap Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, meramalkan kesan buruk ekonomi Kanada akibat hubungan lebih rapat dengan Beijing.
- Hubungan AS-Ottawa merosot sejak Trump menjadi presiden, dengan Trump menarik undangan Kanada untuk menyertai "Lembaga Keamanan" beliau sebagai tindak balas terhadap kenyataan Carney.
Beliau meramalkan kesan buruk kepada Kanada akibat hubungan ekonomi yang lebih erat dengan Beijing dan berkata, "China akan membaham Kanada hidup-hidup, menelannya sepenuhnya, termasuk memusnahkan perniagaan, fabrik sosial, dan cara kehidupan awam mereka."
Pegawai Kanada tidak memberikan maklum balas terbuka dengan segera terhadap ancaman tarif Trump itu.
Minggu lepas, Kanada mengumumkan ia telah mencapai persetujuan perdagangan secara prinsip dengan Beijing susulan lawatan Carney ke China, mengenai pengurangan tarif ke atas kenderaan elektrik China sebagai pertukaran kepada pengurangan duti eksport pertanian Kanada.
Trump pada Jumaat berkata, Kanada menentang cadangan perlindungan "Golden Dome" beliau ke atas Greenland dan sebaliknya "mengundi untuk menyokong perniagaan dengan China".
Hubungan antara Washington dan Ottawa merosot secara mendadak sejak Trump memegang jawatan pada Januari tahun lepas, ketika Carney berusaha untuk menangani tarif AS yang dikenakan semasa tahun pertama presiden itu, di samping menolak gesaan agar Kanada menjadi negeri ke-51 AS.
Di tengah-tengah hubungan yang semakin merosot itu, Trump pada Khamis menarik balik undangan kepada Kanada untuk menyertai "Lembaga Keamanan" beliau, ia dilihat sebagai tindak balas terhadap kenyataan Carney pada Forum Ekonomi Sedunia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


