Ringkasan AI
- Presiden AS, Donald Trump, mengumumkan bantuan tahunan AS$4 bilion kepada Israel akan dihentikan selepas akhir tahun ini, hasil persetujuan dengan Benjamin Netanyahu.
- Pengumuman itu belum disahkan Jabatan Negara AS atau pejabat Netanyahu, dan menimbulkan persoalan mengenai kuasa Trump menamatkan bantuan secara unilateral.
- Isu bantuan kepada Israel menjadi perdebatan hangat di AS, dengan sokongan rakyat terhadap Israel semakin merosot terutama dalam kalangan penyokong Parti Demokrat.
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Washington akan menghentikan pemberian bantuan kepada Israel selepas penghujung tahun ini menerusi persetujuan yang dicapai bersama Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
Trump membuat kenyataan itu ketika ditemu bual saluran Fox News selepas proses pengundian pilihan raya pertengahan penggal AS bermula.
"Kami memberi Israel AS$4 bilion setahun dan beberapa bulan lalu kami mencapai persetujuan untuk menghentikannya. Menjelang akhir tahun ini, kami tidak lagi akan membayar bantuan kepada Israel. Namun, kami tetap akan membantu Israel jika mereka memerlukannya," katanya.
Bagaimanapun, Trump tidak menjelaskan bentuk bantuan yang dimaksudkan, manakala Jabatan Negara AS serta pejabat Netanyahu belum mengesahkan pengumuman tersebut.
Menurut Trump, cadangan penamatan bantuan itu turut dibangkitkan sendiri oleh Netanyahu, yang berpendapat langkah berkenaan boleh mengurangkan kritikan politik terhadap hubungan rapat antara kedua-dua negara.
Pengumuman itu mengejutkan banyak pihak kerana bantuan kepada Israel selama ini diluluskan oleh Kongres, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada Trump mempunyai kuasa untuk menamatkannya secara unilateral.
Wartawan Al Jazeera di White House, Kimberly Halkett, menyifatkan kenyataan berkenaan sebagai "kejutan November" yang mungkin bertujuan meredakan kritikan terhadap dasar AS terhadap Israel, sama ada daripada golongan progresif Demokrat mahupun sebahagian penyokong gerakan Make America Great Again (MAGA).
Pakar dasar keselamatan dari Atlantic Council, Thomas Warrick, pula berpendapat bantuan ketenteraan AS kepada Israel tidak mungkin dihentikan sepenuhnya menjelang akhir 2026 seperti yang dibayangkan Trump.
Menurutnya, terdapat beberapa program kerjasama pertahanan yang sedang berjalan, termasuk sistem pertahanan peluru berpandu dan teknologi anti dron, yang sukar ditamatkan dalam tempoh singkat.
"Saya menjangkakan bantuan ketenteraan akan dikurangkan secara berperingkat sepanjang 2027, bukannya dihentikan sepenuhnya menjelang akhir 2026," katanya.
Isu bantuan kepada Israel menjadi perdebatan hangat dalam politik AS sejak perang di Gaza tercetus pada 2023. Sokongan rakyat AS terhadap Israel dilaporkan semakin merosot, khususnya dalam kalangan penyokong Parti Demokrat.
Pada Julai lalu, Dewan Perwakilan AS menolak usul untuk menghentikan bantuan kepada Israel, namun hampir separuh ahli Demokrat menyokong cadangan tersebut, mencerminkan perpecahan yang semakin ketara mengenai dasar Washington terhadap konflik di Gaza.
Seorang pengkritik Trump dan bekas ahli Kongres Republikan, Marjorie Taylor Greene, menyifatkan pengumuman itu tidak akan memberi kesan besar terhadap keputusan pilihan raya pertengahan penggal yang sedang berlangsung.