Skip to main content

Dunia

Trump dakwa Iran belum bersedia mencapai persetujuan

U.S. President Donald Trump delivers remarks accompanied by Securities Exchange Commission (SEC) Chairman Paul Atkins, Commodity Futures Trading Commission (CFTC) Chairman Michael Selig, Crypto advisor Patrick Witt, CEO of Intercontinental Exchange Jeffrey C. Sprecher, Nasdaq's Chair and Chief Executive Officer Adena T. Friedman and cryptocurrency executives, in the Roosevelt Room at the White House in Washington D.C., U.S., August 19, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Trump berkata Washington kini hanya memantau perkembangan semasa di rantau itu. - Foto fail/REUTERS
Advertisement

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata Iran masih belum bersedia mencapai persetujuan yang dianggapnya sebagai perjanjian terbaik, ketika konflik antara Tehran dan pakatan AS-Israel menghampiri bulan keenam.

Ketika ditanya mengenai pilihan ketenteraan AS terhadap Iran, Trump berkata Washington kini hanya memantau perkembangan semasa di rantau itu.

“Ia hanya bermakna kami sedang melihat apa yang berlaku,” katanya kepada pemberita.

Kenyataan itu dibuat beberapa hari selepas Washington berikrar mengenakan sekatan kewangan paling keras dalam sejarah terhadap Iran, dengan matlamat meningkatkan tekanan ke atas kepimpinan negara tersebut.

Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, dijangka mengumumkan butiran lanjut mengenai sekatan itu pada Isnin depan.

Trump sebelum ini turut memberi amaran bahawa mana-mana negara yang menyediakan “sebarang talian hayat” kepada Iran akan berdepan akibat ekonomi daripada AS.

Dalam pada itu, beliau mendakwa AS mempunyai kawalan penuh ke atas kawasan sekitar Selat Hormuz, laluan perdagangan tenaga yang strategik di Asia Barat.

“Kami mempunyai kawalan penuh ke atas seluruh rantau yang melibatkan Selat Hormuz, termasuk kawasan darat di sekitarnya. Mereka mahu membuat perjanjian, tetapi pada pandangan saya, mereka belum bersedia untuk membuat perjanjian yang betul,” katanya.

Sebelum serangan AS dan Israel terhadap Iran bermula pada 28 Februari lalu, Selat Hormuz mengendalikan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dan gas asli cecair (LNG) dunia, menjadikannya antara laluan perkapalan tenaga paling penting di dunia.

Bagaimanapun, aliran tenaga melalui selat itu terus terjejas apabila Iran masih mempunyai keupayaan peluru berpandu dan dron yang membolehkannya mengganggu pergerakan kapal tangki minyak di kawasan berkenaan.

Pada peringkat awal konflik, Tehran bertindak balas terhadap serangan yang dilancarkan ke atasnya dengan melancarkan serangan balas ke Israel dan beberapa negara Teluk yang menempatkan pangkalan tentera AS.

Konflik yang berpanjangan itu telah mengorbankan ribuan nyawa serta menyebabkan jutaan penduduk kehilangan tempat tinggal susulan serangan berterusan ke atas Iran dan Lebanon.

Ketika tekanan ekonomi dan ketenteraan terus meningkat, prospek rundingan damai antara Washington dan Tehran masih belum menunjukkan sebarang perkembangan positif dalam masa terdekat.

 

 

Must Watch Video

Advertisement