WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa negara itu kini mempunyai “kawalan sepenuhnya” ke atas Selat Hormuz, laluan perkapalan strategik yang menjadi tumpuan ketegangan berterusan antara Washington dan Tehran.
Trump berkata Tentera Laut AS telah membersihkan laluan itu daripada ancaman periuk api dan kini menguasai sepenuhnya pergerakan kapal di kawasan berkenaan.
Beliau turut menyifatkan kedudukan tentera AS di laluan tersebut sebagai kukuh dan terkawal.
“Pada masa ini, satu-satunya pihak yang mengawal Selat Hormuz ialah Tentera Laut Amerika Syarikat,” kata Trump kepada pemberita di White House.
Kenyataan itu dibuat ketika rundingan bagi memulihkan kebebasan pelayaran di Selat Hormuz masih belum mencapai kata putus.
Iran sebelum ini menegaskan laluan tersebut tidak akan dibuka sepenuhnya sehingga beberapa syarat dipenuhi, termasuk penamatan sekatan dan tindakan ketenteraan AS terhadap negara itu.
Setiausaha Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran, Mohsen Rezaei, dilaporkan berkata Selat Hormuz akan kekal ditutup sehingga Washington mengubah pendiriannya dan menerima syarat yang dikemukakan Tehran.
Dalam perkembangan berkaitan, Qatar memaklumkan rundingan antara Iran dan Oman berhubung masa depan laluan perkapalan di Selat Hormuz menunjukkan perkembangan positif, manakala Pakistan turut meningkatkan usaha diplomatik bagi membantu meredakan ketegangan di rantau itu.
Selat Hormuz merupakan antara laluan perdagangan tenaga paling penting di dunia.
Sebelum konflik terkini tercetus, kira-kira satu perlima daripada perdagangan minyak global melalui perairan tersebut, menjadikannya aset strategik yang memberi kesan besar kepada pasaran tenaga antarabangsa.
Ketegangan di laluan itu meningkat selepas AS mengekalkan sekatan maritim ke atas Iran, manakala Tehran terus menggunakan isu pembukaan semula Selat Hormuz sebagai antara tuntutan utama dalam rundingan dengan Washington.