WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa rundingan bagi meredakan konflik antara Washington dan Tehran sedang berlangsung ketika kedua-dua pihak tidak melancarkan sebarang serangan untuk hari ketiga berturut-turut.
Trump berkata beliau optimis perang yang tercetus sejak beberapa bulan lalu berpotensi ditamatkan melalui saluran diplomatik.
"Saya fikir ada peluang yang baik untuk sesuatu penyelesaian dicapai," katanya kepada pemberita ketika berada di dalam pesawat rasmi Air Force One.
Namun, beliau memberi amaran bahawa AS akan meneruskan pendekatan ketenteraan seperti sebelum ini sekiranya usaha rundingan tersebut gagal mencapai hasil yang diharapkan.
Pada masa sama, Iran menafikan dakwaan bahawa rundingan langsung sedang berlangsung antara kedua-dua negara.
Menurut Trump, beliau memutuskan untuk menghentikan sementara serangan AS ke atas Iran pada Jumaat lalu selepas negara-negara yang menjadi perantara meminta ruang diberikan bagi meneruskan usaha diplomatik.
Iran turut menghentikan serangannya dalam tempoh yang sama.
Penggantungan sementara operasi ketenteraan itu berlaku selepas hampir dua minggu serangan dan tindak balas berterusan antara kedua-dua pihak, sekali gus menjejaskan gencatan senjata yang dicapai pada Jun lalu.
Sebelum ini, tentera AS memaklumkan bahawa serangan ke atas Iran bertujuan mengurangkan ancaman terhadap laluan perkapalan komersial di Selat Hormuz, antara laluan perdagangan minyak paling penting di dunia.
Harapan terhadap kemungkinan pengurangan ketegangan turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak mentah merosot lebih sembilan peratus pada Isnin, susut kepada serendah AS$87.59 setong.
Dalam perkembangan berkaitan, Trump menolak laporan media yang mendakwa stok peluru dan persenjataan AS semakin berkurangan selepas beberapa bulan operasi ketenteraan.
Beliau menegaskan negaranya masih mempunyai bekalan peluru yang mencukupi untuk memenuhi keperluan ketenteraan semasa.
"Kami mempunyai banyak peluru dan kelengkapan ketenteraan. Malah bekalan kami lebih daripada mencukupi," katanya.
Trump turut memaklumkan pengeluaran aset pertahanan sedang dipertingkatkan, termasuk sistem peluru berpandu pertahanan udara Patriot yang digunakan secara meluas untuk memintas serangan peluru berpandu balistik.
Sementara itu, jurucakap White House, Anna Kelly, berkata angkatan tentera AS memiliki stok senjata dan peluru yang mencukupi untuk melaksanakan semua objektif strategik pentadbiran Trump.
Beliau menambah bahawa Presiden AS turut menggesa syarikat pertahanan negara itu meningkatkan pengeluaran aset ketenteraan buatan AS.
Konflik semasa bermula apabila AS dan Israel melancarkan serangan terhadap Iran pada 28 Februari.
Tehran kemudian bertindak balas dengan melancarkan peluru berpandu serta dron ke arah pangkalan tentera AS di rantau Teluk dan beberapa sasaran di Israel.
Pada Jun lalu, Iran dan AS mencapai persefahaman untuk menghentikan operasi ketenteraan serta membuka semula Selat Hormuz sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian kepada konflik berkenaan.
Bagaimanapun, ketegangan kembali memuncak selepas Washington menuduh Iran menyerang kapal tangki di laluan perairan strategik itu pada pertengahan Julai, sekali gus mendorong AS menyambung semula serangan udara dan memperketat kawalan maritim.
Iran kemudian melancarkan serangan balas ke atas beberapa kemudahan dan pangkalan tentera AS di Asia Barat.
Menurut laporan, serangan itu mengorbankan empat anggota tentera AS.
Kementerian Kesihatan Iran pula memaklumkan bahawa puluhan orang terbunuh akibat serangan yang dilancarkan oleh AS sejak konflik itu kembali memuncak.