ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Ahad berkata, beliau tidak mempunyai sebarang ketegangan dengan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez meskipun baru-baru ini mengarahkan perdagangan dengan negara Eropah itu dihentikan sepenuhnya, lapor Anadolu Ajansi.
"Saya tiada sebarang ketegangan dengan beliau. Saya tidak mempunyai ketegangan dengan sesiapa pun," kata Trump kepada pemberita selepas kemenangan 1-0 Sepanyol ke atas Argentina pada perlawanan akhir Piala Dunia FIFA.
Presiden AS itu berkata, beliau telah mengucapkan tahniah kepada pegawai Sepanyol atas "pasukan yang hebat" serta menyifatkan perlawanan akhir itu sebagai acara yang "mengujakan" dan "hebat."
Beliau turut menolak tanggapan bahawa dirinya kecewa dengan kekalahan Argentina, sambil menegaskan bahawa "Sepanyol bermain dengan lebih baik", walaupun mengakui perlawanan itu "amat sengit".
Kenyataan berbaur damai itu menunjukkan perubahan ketara dalam pendirian Trump.
Awal bulan ini, beliau menyifatkan Sepanyol sebagai "kes yang tidak lagi boleh diselamatkan" dan "rakan NATO yang teruk" selepas negara itu enggan membenarkan tentera AS menggunakan pangkalan tenteranya ketika konflik dengan Iran, selain keengganan Madrid memberikan komitmen untuk meningkatkan perbelanjaan pertahanan kepada lima peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).
"Saya tidak mahu ada sebarang urusan dengan Sepanyol. Hentikan semua perdagangan dengan Sepanyol, termasuk lawatan," katanya pada sidang media semasa sidang kemuncak NATO di Ankara, Turkiye.
"Jangan bercakap dengan mereka. Mereka adalah orang yang tiada harapan dan tidak baik," kata presiden itu.
-- BERNAMA-ANADOLU