DUNIA
Trump gesa Microsoft pecat Presiden Hal Ehwal Global, Lisa Monaco

Presiden Trump gesa gergasi Microsoft memecat Presiden Hal Ehwal Global syarikat itu, Lisa Monaco, yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Presiden Demokrat terdahulu. - Gambar fail Reuters
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat menggesa gergasi teknologi Microsoft Corp memecat Presiden Hal Ehwal Global syarikat itu, Lisa Monaco, yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Presiden Demokrat terdahulu.
Monaco sebelum ini merupakan pembantu keselamatan kepada bekas Presiden Barack Obama serta pernah menyandang jawatan Timbalan Peguam Negara ketika pentadbiran Presiden Joe Biden.
Menurut profil LinkedIn, beliau mula berkhidmat di Microsoft pada Julai lalu bagi mengetuai urusan syarikat dengan kerajaan di seluruh dunia.
Trump dalam kenyataannya menegaskan, kedudukan Monaco di Microsoft memberi beliau akses kepada maklumat sensitif, sesuatu yang disifatkannya "tidak boleh diterima dan tidak boleh dibiarkan.""Beliau satu ancaman kepada keselamatan negara Amerika Syarikat, lebih-lebih lagi memandangkan kontrak besar Microsoft dengan kerajaan," kata Trump menerusi Truth Social.
"Pada pandangan saya, Microsoft harus segera menamatkan perkhidmatan Lisa Monaco."
Monaco juga pernah berperanan menyelaras respons Jabatan Kehakiman terhadap serangan pada 6 Januari 2021 di Capitol yang dilakukan penyokong Trump.
Beliau dilaporkan kehilangan semua kelulusan keselamatan pada Februari lalu.
Pada Jumaat, Trump turut mendakwa, kerajaan AS melarang Monaco daripada memasuki semua premis Persekutuan susulan "banyak salah laku" yang dilakukan.
Microsoft setakat ini belum memberikan sebarang maklum balas berhubung kenyataan Trump, manakala Monaco juga tidak segera mengulas perkara itu.
Syarikat teknologi termasuk Microsoft sejak kebelakangan ini berusaha memperbaiki hubungan dengan pentadbiran Trump dalam penggal keduanya.
Beberapa pemimpin teknologi terkemuka menghadiri majlis angkat sumpah beliau Januari lalu, malah ada yang dijemput ke White House.
Ketua Pegawai Eksekutif Microsoft, Satya Nadella baru-baru ini turut menghadiri majlis makan malam di White House bersama Trump dan pemimpin industri teknologi lain.
Trump dan Parti Republikan sebelum ini sering mendakwa wujud sikap berat sebelah terhadap konservatif dalam industri teknologi. - Agensi
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami