WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan menghormati keputusan pilihan raya pertengahan penggal negara itu hanya sekiranya proses pengundian dijalankan secara “jujur”, dalam kenyataan yang dilihat berpotensi mencetuskan keraguan terhadap keputusan pilihan raya menjelang hari pengundian minggu depan.
Trump meningkatkan retoriknya berhubung dakwaan berlakunya penipuan pengundi secara meluas, walaupun dakwaan tersebut tidak disokong bukti, ketika tinjauan menunjukkan Parti Republikan berisiko kehilangan kawalan ke atas Kongres.
“Saya akan menerimanya, jika pilihan raya itu dijalankan secara jujur,” kata Trump kepada pemberita apabila ditanya sama ada beliau akan menghormati keputusan pilihan raya pertengahan penggal, ketika berlepas ke Texas untuk menghadiri program kempen.
Presiden berusia 80 tahun itu turut memberikan reaksi berhati-hati apabila ditanya mengenai kemungkinan bekerjasama dengan Parti Demokrat sekiranya Republikan kehilangan majoriti di Dewan Perwakilan dan Senat.
“Kita akan cari jalan. Saya mempunyai kuasa veto yang kukuh. Saya berharap perkara itu tidak berlaku, tetapi jika ia berlaku, situasi seperti itu pernah dihadapi ramai presiden sebelum ini.
“Anda mempunyai kuasa veto yang kuat dan akhirnya tetap boleh mencapai persetujuan,” katanya di Pangkalan Bersama Andrews berhampiran Washington.
Republikan dikatakan bimbang berdepan fenomena “gelombang biru” yang boleh memberi kelebihan kepada Demokrat dalam pilihan raya pertengahan penggal, ketika pengundi menyuarakan rasa tidak puas hati terhadap tekanan inflasi susulan kenaikan harga minyak sejak AS melancarkan operasi ketenteraan terhadap Iran.
Sejak sebulan lalu, Trump mengadakan siri perhimpunan hampir setiap hari di seluruh AS bagi mengukuhkan sokongan penyokong tegar gerakan Make America Great Again (MAGA), sambil menegaskan beliau satu-satunya pemimpin yang mampu mengelakkan kekalahan Republikan.
Lawatan ketiganya ke Texas dalam tempoh sebulan turut mencerminkan kebimbangan dalam kem Republikan, apabila tinjauan menunjukkan persaingan sengit bagi kerusi Senat di negeri yang selama lebih 30 tahun dianggap kubu kuat parti itu.
Trump turut berkata, beliau bakal menerima “hadiah” daripada Venezuela berupa sebuah kapal tangki yang membawa satu juta tong minyak.
Kenyataan itu dibuat selepas pemimpin negara tersebut, Nicolas Maduro, digulingkan menerusi operasi ketenteraan AS pada Januari lalu.
Beliau akan ditemani Setiausaha Negara, Marco Rubio, yang terkenal dengan pendirian tegas terhadap Amerika Latin dan dilihat membuat kemunculan luar biasa dalam kempen menjelang spekulasi bahawa beliau mungkin bertanding dalam pilihan raya presiden 2028.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, Trump juga semakin lantang mengulangi dakwaan berhubung penipuan pengundi, isu yang sering dibangkitkannya sejak kekalahan kepada Joe Biden dalam pilihan raya presiden 2020.
Selepas kekalahan itu, Trump dituduh menyemarakkan kemarahan penyokongnya yang kemudiannya menyerbu bangunan Capitol AS pada 6 Januari 2021 dalam usaha menghalang proses pengesahan rasmi keputusan pilihan raya.
Susulan itu, pengkritik bimbang beliau mungkin sedang meletakkan asas untuk mencabar keputusan pilihan raya pertengahan penggal atau menggunakan kuasa luar biasa sekiranya keputusan tidak memihak kepadanya.
Pada Isnin, Trump turut menawarkan ganjaran tunai AS$1 juta kepada mana-mana individu yang mempunyai maklumat sehingga membawa kepada sabitan kes penipuan pengundi. - Agensi