LONDON: Kerajaan United Kingdom membayangkan yang Harry Kane berpeluang menerima gelaran “Sir” (kesatria) susulan pencapaian "luar biasa" memenangi Ballon d’Or, lapor PA Media/dpa.
Pemain England dan Bayern Munich itu menjadi pemain England pertama dalam tempoh 25 tahun yang memenangi anugerah berkenaan pada majlis yang berlangsung di London Palladium pada Isnin malam.
Anugerah itu mengiktiraf penyerang berkenaan sebagai pemain individu terbaik dalam bola sepak lelaki dunia.
Perdana Menteri Britain, Andy Burnham mengucapkan tahniah kepada Kane.
Jurucakap beliau berkata: "Perdana Menteri ingin mengucapkan tahniah kepada Harry Kane atas kejayaannya memenangi Ballon d’Or.
"Menjadi pemain England pertama memenanginya dalam tempoh 25 tahun merupakan pencapaian yang luar biasa dan lebih istimewa apabila kejayaan itu diraih di tanah air sendiri.
"Tujuh puluh tahun selepas Sir Stanley Matthews memenangi anugerah sulung itu, kejayaan ini melengkapkan musim yang amat membanggakan. Harry terus menjadi contoh teladan yang cemerlang kepada pemain muda di seluruh negara dan Perdana Menteri yakin seluruh negara akan berasa amat bangga dengannya.
"Mudah-mudahan, satu lagi trofi dapat diraikan bersama England tidak lama lagi."
Jurucakap itu turut ditanya sama ada Perdana Menteri mahu pemain berkenaan dianugerahkan gelaran Sir.
"Mengenai soalan anda tentang gelaran Sir, saya rasa semua orang akan bersetuju bahawa Harry Kane banyak menyumbang kepada bola sepak England. Ini merupakan detik yang amat istimewa buat beliau di negara ini, namun seperti biasa, saya tidak akan mendahului proses penganugerahan darjah kebesaran," kata jurucakap itu.
Michael Owen merupakan pemain England terakhir yang menerima pengiktirafan individu berprestij itu pada 2001.
Namun, kejayaan Kane menjaringkan 73 gol pada musim lepas untuk kelab dan negaranya melayakkan beliau menerima anugerah berkenaan daripada majalah Perancis, France Football.
Kane menyusuli jejak Stanley Matthews, Bobby Charlton, Kevin Keegan dan Owen sebagai pemain England yang memenangi Ballon d’Or.
-- BERNAMA-PA MEDIA/dpa