Skip to main content
Advertisement

Dunia

Trump jangka lebih banyak rundingan dengan Iran minggu ini

An Iranian woman shouts during a march in Tehran, Iran, September 25, 2026. Majid Asgaripour/WANA (West Asia News Agency) via REUTERS
Seorang wanita Iran melaungkan slogan ketika menyertai perarakan di Tehran, Iran, pada 25 September 2026. - Gambar Reuters
Advertisement

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata pada Ahad, beliau menjangkakan utusannya akan menyertai rundingan dengan Iran dalam masa beberapa hari lagi, sambil menambah bahawa Tehran masih belum mengemukakan syarat yang boleh diterima untuk menyelesaikan konflik yang berlanjutan itu, menurut Anadolu Ajansi.

"Saya menjangkakan lebih banyak rundingan dengan Iran (minggu ini)," kata Trump kepada laman sesawang berita AS Axios dalam satu wawancara, sambil menambah: "Meka mahu membuat satu kesepakatan, tetapi ia bukan kesepakatan yang saya mahukan. Ia adalah perkara yang mungkin telah kita persetujui setahun lepas."

Ketika ditanya sama ada Washington sedang mempertimbangkan untuk memulakan semula serangan ketenteraan terhadap Iran, Trump berkata, pilihan itu kekal aktif.

Kenyataan itu menyusul selepas pertukaran diplomatik secara tidak langsung minggu lepas di luar  Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di New York, apabila Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi bertemu Utusan AS, Steve Witkoff dan Jared Kushner menerusi perantara Qatar.

Tehran dilaporkan menawarkan untuk membuka semula Selat Hormuz yang strategik dan memulakan semula rundingan nuklear dalam tempoh seminggu dengan syarat Washington menarik balik sekatan lautnya, memansuhkan sekatan ke atas penjualan minyak, serta melaksanakan semula gencatan senjata serantau.

Trump menolak cadangan itu pada Sabtu, ketika kedua-dua negara masih terperangkap dalam perang Iran selama tujuh bulan yang bermula dengan serangan berskala besar oleh AS dan Israel pada akhir Februari.

-- BERNAMA-ANADOLU 

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement