WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Rabu mengumumkan pelancaran kempen baharu berskala besar bagi menyasarkan ekonomi Iran, sambil mengancam untuk mengenakan hukuman ekonomi yang "amat dahsyat" ke atas mana-mana negara yang membantu atau menjalankan urusan perniagaan dengan republik Islam itu.
Langkah meningkatkan tekanan ekonomi itu dibuat ketika konflik berkenaan menghampiri bulan keenam tanpa sebarang petunjuk jelas ke arah penyelesaian diplomatik mahupun ketenteraan dalam masa terdekat.
Pada masa sama, Trump turut berdepan tekanan politik domestik yang semakin memuncak menjelang pilihan raya November nanti, dengan perang berkenaan terus menjadi tumpuan perhatian.
"Hari ini saya mengumumkan OPERASI EKONOMI PALING MEMUSNAHKAN yang pernah diambil terhadap mana-mana negara. Ini akan menjadi peperangan ekonomi dan pengasingan pada skala yang belum pernah berlaku sebelum ini," tulis Trump menerusi platform Truth Social.
Beliau turut memberi amaran mana-mana negara yang membenarkan institusi kewangan, syarikat, lapangan terbang atau agensi kerajaan mereka menjadi talian hayat kepada Iran akan berdepan akibat ekonomi yang sangat berat.
"Saya juga mengumumkan bahawa MANA-MANA negara yang membenarkan institusi kewangan, perniagaan, lapangan terbang atau entiti kerajaan mereka menyediakan apa jua bentuk talian hayat kepada Iran akan berdepan AKIBAT EKONOMI YANG AMAT DAHSYAT," tegasnya memberi amaran.
Bagaimanapun, Trump tidak memperincikan bentuk hukuman yang bakal dikenakan, dan tidak menamakan mana-mana negara selain Iran.
Kenyataan itu dibuat hampir seminggu selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata Washington akan mengenakan pengasingan ekonomi terhadap Iran "seperti yang tidak pernah disaksikan dunia sebelum ini."
Walaupun serangan peluru berpandu dilaporkan semakin berkurangan sejak kebelakangan ini, Iran masih meneruskan sekatan berkesan ke atas laluan perkapalan di Selat Hormuz selepas kerangka perjanjian antara AS dan Iran bagi membuka semula koridor strategik itu gagal dimuktamadkan.
Dalam beberapa hari kebelakangan ini, kedua-dua pihak memaklumkan bahawa mesej masih dipertukarkan antara mereka.
Namun, Trump pada Selasa menegaskan, rundingan tidak lagi diteruskan dan turut memuat naik hantaran di media sosial yang membayangkan Selat Hormuz berpotensi menjadi "wilayah baharu AS." - Agensi