DUNIA
Trump naikkan bayaran masuk taman negara AS untuk pelancong asing

Taman Negara Yellowstone, Yosemite (gambar) dan Grand Canyon ketika ini mengenakan bayaran AS$35 setiap kenderaan atau AS$70 untuk pas tahunan. - AP
WASHINGTON: Presiden Donald Trump pada Jumaat menandatangani perintah eksekutif yang akan menaikkan bayaran masuk ke taman negara di Amerika Syarikat (AS) bagi pelancong asing.
Bagi rakyat AS, bayaran kekal sama, kata Trump kepada penyokongnya di Iowa sambil mengaitkan dasar itu dengan slogannya "America First."
Perintah itu juga memberikan keutamaan kepada penduduk AS dalam sebarang sistem permit atau tempahan yang dikendalikan oleh Perkhidmatan Taman Negara. Tapak perkhemahan dan akses ke taman sering mendapat permintaan tinggi, terutamanya pada musim panas.
White House berkata peningkatan hasil daripada pelancong asing akan menjana ratusan juta dolar untuk projek pemuliharaan dan membantu mengatasi tunggakan kerja penyelenggaraan.Menurut White House, adalah adil rakyat AS membayar lebih rendah berbanding orang lain kerana mereka membiayai taman negara melalui cukai. Ketika ini, semua pelawat membayar bayaran yang sama tanpa mengira kewarganegaraan, yang bermakna rakyat AS secara keseluruhan membayar lebih disebabkan sumbangan cukai mereka, menurut Pejabat Presiden.
Pengumuman itu tidak menyatakan jumlah kenaikan bayaran untuk pelancong asing atau bagaimana sistem keutamaan itu akan dilaksanakan.
Bayaran masuk ke taman negara AS berbeza mengikut lokasi, dan sesetengahnya tidak mengenakan bayaran langsung.
Sebagai contoh, Yellowstone, Yosemite dan Grand Canyon ketika ini mengenakan bayaran AS$35 setiap kenderaan atau AS$70 untuk pas tahunan, manakala Taman Negara Great Smoky Mountains di North Carolina, taman paling banyak dikunjungi pada 2024, adalah percuma.
--BERNAMA-dpa
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami