Skip to main content

Dunia

Trump sifatkan rundingan Iran "membina", sekatan kekal hingga perjanjian akhir dimeterai

U.S. President Donald Trump speaks during an event to mark Military Mother's Day, in the East Room at the White House in Washington, D.C., U.S., May 6, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata rundingan dengan Iran berjalan secara “teratur dan membina” serta menegaskan sekatan akan kekal dilaksanakan sehingga perjanjian akhir dicapai. - Gambar fail/REUTERS

ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad berkata rundingan dengan Iran berjalan secara “teratur dan membina” serta menegaskan sekatan akan kekal dilaksanakan sehingga perjanjian akhir dicapai.

“Sekatan akan terus berkuat kuasa sepenuhnya sehingga satu perjanjian dicapai, disahkan dan ditandatangani. Kedua-dua pihak perlu mengambil masa secukupnya dan memastikan ia dilakukan dengan betul. Tiada ruang untuk kesilapan!” kata Trump dalam hantaran di platform media sosialnya, Truth Social, lapor Anadolu Ajansi.

Beliau turut berkata hubungan AS-Iran menjadi “lebih profesional dan produktif”, namun memberi amaran bahawa Tehran tidak boleh membangunkan atau memperoleh senjata nuklear.

Trump juga mengucapkan terima kasih kepada negara Asia Barat atas “sokongan dan kerjasama” mereka, sambil berkata penglibatan itu akan diperkukuh menerusi penyertaan lebih luas dalam Perjanjian Abraham, selain mencadangkan Iran suatu hari nanti boleh menyertai rangka kerja itu.

Beliau mengkritik perjanjian nuklear Iran 2015 dengan menyifatkannya sebagai “satu daripada perjanjian paling buruk pernah dibuat” dan sekali lagi menyalahkan pentadbiran bekas Presiden Barack Obama atas apa yang disifatkannya sebagai perjanjian lemah yang membuka laluan kepada pembangunan senjata nuklear.

Trump berkata rundingan semasa dengan Iran adalah “jauh lebih baik” dan sebahagian daripada pendekatan lebih berkesan, sambil menegaskan proses yang sedang berlangsung itu akan menghalang Tehran daripada memperoleh senjata nuklear.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

Must Watch Video

Advertisement