Skip to main content

Dunia

Trump tangguh keputusan Iran, pakar AS beri amaran ketidakpastian usaha damai

U.S. President Donald Trump speaks during an event to mark Military Mother's Day, in the East Room at the White House in Washington, D.C., U.S., May 6, 2026. REUTERS/Kylie Cooper
Ketidakpastian berterusan menyelubungi usaha menamatkan konflik Iran selepas Presiden Donald Trump menangguhkan keputusan muktamad mengenai draf perjanjian dengan Tehran pada Jumaat. - Gambar fail/Reuters

WASHINGTON: Beberapa pakar Amerika Syarikat (AS) memberi amaran tentang ketidakpastian yang berterusan menyelubungi usaha menamatkan konflik Iran selepas Presiden Donald Trump menangguhkan keputusan muktamad mengenai draf perjanjian dengan Tehran pada Jumaat, lapor Xinhua.

Langkah Trump itu dibuat susulan kejayaan AS dan Iran mencapai persetujuan tentatif mengenai memorandum persefahaman untuk melanjutkan gencatan senjata selama 60 hari dan melancarkan rundingan nuklear, sementara menunggu kelulusan muktamad daripada Trump.

Apa yang bakal berlaku seterusnya masih tidak jelas, namun jika tiada gencatan senjata yang berjaya direalisasikan, ia mungkin disebabkan oleh pihak lain selain Tehran dan Washington.

"Jika gencatan senjata 60 hari tidak menjadi kenyataan, ia dipengaruhi terutamanya oleh pilihan kerajaan Netanyahu untuk meneruskan konflik di barisan hadapan Israel-Lubnan, selain ketidakupayaan AS untuk mengawal Netanyahu," kata Clay Ramsay, seorang penyelidik di Pusat Pengajian Antarabangsa dan Keselamatan di Universiti Maryland, kepada Xinhua.

Beliau merujuk kepada Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.

Berikutan serangan oleh AS dan Israel terhadap Iran, Hizbullah pada Mac menyertai pertempuran tersebut dengan melancarkan roket, peluru berpandu dan dron ke utara Israel.

Sebagai tindak balas, Israel melancarkan serangan udara dan kempen darat berskala besar ke dalam wilayah Lubnan.

Walaupun jika gencatan senjata berlaku, tiada jaminan bahawa ia akan bertahan.

"Untuk memastikan gencatan senjata itu kekal, AS dan Israel perlu menerima hakikat bahawa Iran tidak akan membuat konsesi (tolak ansur) terlebih dahulu tanpa melihat AS dan Israel melakukan perkara yang sama pada masa yang sama," kata Ramsay.

Beberapa pakar berpandangan bahawa Rumah Putih tidak memberi perhatian kepada seni diplomasi yang diperlukan untuk menjayakan perjanjian sedemikian.

"Banyak perkara yang berlaku ini berpunca daripada Trump yang tidak menghargai usaha senyap-senyap di sebalik tabir yang diperlukan dalam hal ehwal antarabangsa," kata Christopher Galdieri, seorang profesor sains politik di Saint Anselm College.

Beliau berkata terdapat risiko apabila pentadbiran Trump "sentiasa mengumumkan perjanjian, gencatan senjata atau kemenangan yang bakal berlaku, tetapi ia akhirnya tidak pernah menjadi kenyataan."

Sementara itu, semakin lama konflik tersebut berlarutan, semakin besar potensinya untuk menjejaskan peluang Parti Republikan dalam pilihan raya pertengahan penggal pada November ini.

"Setiap hari, Trump mempunyai kenyataan baharu mengenai penamatan konflik Iran, namun konflik itu masih belum berakhir," kata Felo Kanan Brookings Institution, Darrell West.

"Rakyat melihat harga minyak yang tinggi dan ketiadaan strategi yang jelas untuk menamatkan konflik. Ini menjadi masalah politik yang besar buat Trump," kata West.

Gangguan terhadap laluan perkapalan di Selat Hormuz telah menyebabkan lonjakan harga tenaga global, memandangkan kira-kira satu perlima daripada bekalan minyak dunia melalui laluan air yang penting itu.

-- BERNAMA-XINHUA

Must Watch Video

Advertisement