WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menolak cadangan Iran untuk membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan komersial dalam tempoh tujuh hari, sambil menyifatkan tawaran itu tidak dapat diterima.
Trump berkata Iran kini berusaha mencapai perjanjian selepas berdepan tekanan akibat konflik yang berlarutan sejak Februari lalu.
"Mereka mahu membuat perjanjian dan saya juga suka membuat perjanjian. Tetapi perjanjian itu tidak boleh diterima," katanya kepada pemberita di White House pada Sabtu.
Sebelum ini, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata di luar Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) di New York bahawa Selat Hormuz boleh dibuka semula dan laluan perkapalan dipulihkan dalam tempoh seminggu sekiranya syarat tertentu dipenuhi.
Menurut beliau, syarat berkenaan telah pun terkandung dalam memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara kedua-dua negara pada Jun lalu.
Selat Hormuz, yang menjadi laluan kira-kira satu perlima bekalan minyak dan gas dunia, hampir tidak dapat digunakan sepenuhnya sejak tercetusnya perang pada Februari, sekali gus mencetuskan ketidaktentuan pasaran tenaga global.
Trump menegaskan AS kini mempunyai "kawalan penuh" ke atas selat itu dan mendakwa sejumlah besar minyak masih berjaya melalui laluan berkenaan.
Laporan Wall Street Journal pada Jumaat memetik pegawai AS sebagai berkata Trump ragu-ragu Iran akan memenuhi tuntutannya dan melihat kemungkinan kempen pengeboman baharu sebagai sesuatu yang berpotensi berlaku.
Iran menutup Selat Hormuz selepas serangan udara AS dan Israel pada akhir Februari, selain melancarkan serangan balas terhadap Israel, pangkalan tentera AS di Teluk dan sekutu Washington di rantau itu.
Penutupan laluan tersebut telah menyebabkan harga tenaga dunia turun naik dengan ketara.
Dalam pada itu, Presiden Iran Masoud Pezeshkian berkata Tehran bersedia kembali kepada syarat yang dipersetujui sebelum ini jika Washington menghormati kandungan MoU berkenaan.
Bagaimanapun, bekas pegawai Majlis Keselamatan Negara AS, Kirsten Fontenrose, berkata tiada kecenderungan di Washington untuk menghidupkan semula perbincangan mengenai MoU tersebut kerana ia dianggap tidak menguntungkan AS.
MoU berkenaan bertujuan mewujudkan gencatan senjata dan membuka semula sebahagian laluan Selat Hormuz.
Namun usaha itu gagal selepas kedua-dua pihak kembali melancarkan serangan.
Data perkapalan menunjukkan jumlah kapal yang melalui Selat Hormuz masih jauh lebih rendah berbanding kebiasaan, manakala keadaan turut diburukkan oleh serangan kumpulan Houthi yang disokong Iran terhadap kemudahan minyak Arab Saudi dan laluan perkapalan di Laut Merah.
Sementara itu, Araghchi menegaskan keamanan tidak boleh dicapai melalui ugutan pemusnahan, sebagai mengulas kenyataan Trump yang sebelum ini membayangkan kemungkinan tindakan lebih keras terhadap Republik Islam itu.