ISTANBUL: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump pada Ahad mengumumkan penubuhan "Super Intelligence Force" (SIF) bagi menyelaraskan inisiatif kerajaan persekutuan yang bertujuan mengekalkan kepimpinan AS dalam teknologi termaju, lapor Anadolu Ajansi (AA).
"Susulan Perjanjian White House mengenai Super Intelligence yang bersejarah, apabila syarikat teknologi paling penting di dunia berkumpul dan mengesahkan tanggungjawab mereka kepada rakyat Amerika, saya mengumumkan penubuhan Super Intelligence Force (SIF)," tulis Trump menerusi platform media sosialnya, Truth Social.
Trump berkata sektor yang semakin berkembang itu membawa transformasi "lebih besar daripada Revolusi Perindustrian dan Internet", sambil menambah panel berkenaan akan berusaha melindungi kepentingan awam di samping meningkatkan keupayaan.
Presiden itu berkata pasukan petugas berkenaan akan menyelaraskan interaksi kerajaan persekutuan dengan pengguna, kumpulan berkepentingan awam, pertubuhan agama, penyedia infrastruktur kritikal dan pemaju komersial.
Barisan kepimpinan pasukan itu akan merangkumi Pengarah Perisikan Kebangsaan Jay Clayton, Pengerusi Suruhanjaya Perdagangan Persekutuan Andrew Ferguson, Timbalan Setiausaha Perang bagi Penyelidikan dan Kejuruteraan merangkap Ketua Pegawai Teknologi Emil Michael serta Pengarah Pejabat Pengurusan Kakitangan Scott Kupor.
Trump berkata kumpulan itu akan melaporkan secara langsung kepadanya dan Ketua Staf White House Susie Wiles.
Pasukan petugas itu diberi tempoh 120 hari untuk menyediakan dapatan, menurut laporan The Wall Street Journal pada Sabtu.
Ia akan meneliti undang-undang sedia ada dan langkah berpotensi yang boleh diambil Kongres, sambil bekerjasama dengan industri teknologi bagi mengenal pasti risiko dan peluang.
Piagam pasukan itu menggariskan rancangan untuk menangani ancaman yang ditimbulkan oleh AI termaju, sambil mengelakkan peraturan yang boleh mengekang inovasi dan persaingan.
Pasukan petugas itu juga akan mengkaji cara pelanggaran keselamatan, penggodaman, "jailbreak" model (pintasan sekuriti model) dan insiden lain berkaitan AI dilaporkan kepada kerajaan serta mengesyorkan langkah untuk menambah baik tindak balas kerajaan persekutuan berdasarkan kuasa sedia ada.
Penubuhan pasukan itu menyusuli pertemuan di White House pada Selasa antara Trump dengan eksekutif teknologi termasuk Presiden OpenAI Greg Brockman, Ketua Pegawai Eksekutif Anthropic Dario Amodei dan Ketua Pegawai Eksekutif Nvidia Jensen Huang.
Trump berkata ketua syarikat teknologi terbesar AS menandatangani perjanjian yang "mengikat secara moral" untuk melaksanakan kawalan terhadap kecerdasan buatan, termasuk pemantauan keselamatan dalaman dan semakan luaran bebas terhadap sistem mereka.
Trump menekankan usaha mengekalkan kepimpinan AS dalam teknologi, sambil mengutamakan langkah perlindungan secara sukarela oleh industri berbanding kawal selia kerajaan yang lebih ketat.
-- BERNAMA-ANADOLU