HAMILTON, KANADA: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Jumaat berkata, Washington mencapai perjanjian dengan Denmark dan Greenland yang memberi AS kawalan kekal terhadap keselamatan di Greenland tanpa melibatkan sebarang kos, lapor Anadolu Ajansi.
Trump menerusi hantaran di Truth Social berkata, perjanjian itu menangani “semua kebimbangan AS” berkaitan Greenland.
Beliau menyifatkan perjanjian itu sebagai perjanjian “tanpa had tempoh”, sambil berkata, AS berbangga dengan persetujuan yang dicapai.
Trump turut berkata, AS akan segera memulakan proses kehadiran ketenteraan yang besar di lokasi sesuai di Greenland dengan kerjasama penduduk wilayah itu.
Menurut beliau, tiada negara yang dianggap sebagai musuh AS dibenarkan mempunyai pangkalan atau kehadiran ketenteraan di Greenland, selain membuat pelaburan sensitif di wilayah berkenaan tanpa kebenaran bertulis Washington.
-- BERNAMA-ANADOLU