Skip to main content

Dunia

Turkiye berjaya bawa pulang artifak purba Smyrna dari muzium Amerika Syarikat

smyrna
Artifak yang dipercayai berasal dari abad kelima Masihi itu telah dibawa ke luar negara melalui saluran haram. - Foto: Denver Art Museum

ANKARA:

Turkiye berjaya mendapatkan semula sebuah arca kepala marmar dari kota purba Smyrna yang sebelum ini disimpan di Amerika Syariat, menurut Menteri Kebudayaan dan Pelancongan Mehmet Nuri Ersoy pada Selasa, lapor Anadolu Ajansi.

Dalam satu kenyataan yang dikongsi melalui platform media sosial Turkiye, NSosyal, Ersoy berkata artifak berkenaan yang sebelum ini merupakan sebahagian daripada koleksi Muzium Seni Denver, telah dihantar pulang selepas pengesahan saintifik dilakukan terhadap asal usulnya.

Beliau berkata laporan tahun 1934 dan analisis pakar mengesahkan bahawa arca itu berasal dari tapak penggalian di Agora, Kota Purba Smyrna, dan berasal dari zaman Theodosius.

Artifak yang dipercayai berasal dari abad kelima Masihi itu telah dibawa ke luar negara melalui saluran haram, kata Ersoy.

"Melalui kerjasama dan dialog membina dengan Muzium Seni Denver, kami akhirnya berjaya membawa pulang artifak ini ke tanah air," katanya.

Beliau berkata arca kepala marmar itu kini dipamerkan di Muzium Arkeologi Izmir. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pasukan daripada Direktorat Awam Warisan Budaya dan Muzium serta semua pihak yang terlibat dalam proses berkenaan.

"Kami akan terus melindungi warisan budaya kami dengan penuh keazaman," tegas Ersoy.

-- BERNAMA-ANADOLU

Advertisement

Must Watch Video