ANKARA: Pihak Berkuasa Persaingan Turkiye memutuskan untuk mengenakan denda harian melebihi AS$160,000 ke atas Meta kerana gagal mematuhi kewajipan pertukaran data, lapor Sputnik pada Rabu.

Pihak berkuasa telah mengeluarkan injunksi interim yang memerintahkan Meta berhenti menggunakan data pengguna WhatsApp dalam perkhidmatan Meta lain di Turkiye dan untuk memaklumkan kepada semua pengguna tentang perkara itu.

Selain itu, pihak berkuasa telah meminta syarikat itu untuk mencadangkan penyelesaian baharu bagi menangani kebimbangan mereka menjelang 11 Dis 2023 tetapi tiada sebarang penyelesaian diberikan sehingga kini.

Sehubungan itu, pihak berkuasa memutuskan untuk mengenakan denda 4,796,152 lira (lebih AS$160,000) ke atas pendapatan kasar syarikat pada 2022 untuk setiap hari mulai 12 Dis 2023 sehingga penyelesaian pematuhan diserahkan, menurut laporan itu.

Sehingga kini, denda telah melebihi 140 juta lira (lebih AS$4.6 juta) dan akan terus meningkat setiap hari.

Pada awal Disember 2023, pihak berkuasa melancarkan siasatan terhadap Meta selepas syarikat itu memutuskan untuk menggabungkan akaun pengguna di Instagram (dimiliki oleh Meta) dan Threads.

Hasil siasatan mendapati bahawa tindakan syarikat itu melanggar undang-undang perlindungan persaingan Turkiye.

-- BERNAMA