ANKARA: Turkiye menegaskan pakatan pertahanan tiga hala yang baharu dimeterai bersama Arab Saudi dan Pakistan tidak ditujukan kepada Iran atau mana-mana negara lain.
Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan berkata, Perjanjian Pertahanan Bersama Mekah tidak menyenaraikan Iran sebagai ancaman bersama dan tidak diwujudkan untuk menyasarkan mana-mana pihak.
Perjanjian itu ditandatangani pada Jumaat oleh Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Putera Mahkota Arab Saudi, Mohammed bin Salman dan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif.
Menerusi perjanjian tersebut, serangan bersenjata terhadap salah sebuah daripada tiga negara itu akan dianggap sebagai serangan terhadap kesemuanya.
"Kami tidak menetapkan sebarang ancaman bersama secara bertulis. Negara yang tidak menyerang mana-mana pihak yang menandatangani perjanjian ini tidak akan dianggap sebagai sasaran," kata Fidan kepada agensi berita Anadolu pada Sabtu.
Komitmen pertahanan seperti NATO
Fidan menjelaskan, perjanjian itu secara teknikal mempunyai persamaan dengan Artikel 5 Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO), yang menetapkan bahawa serangan terhadap satu negara anggota dianggap sebagai serangan terhadap semua anggota.
Namun, beliau berkata, bentuk respons akan bergantung kepada situasi yang berlaku.
Menurutnya, negara yang diserang perlu memohon bantuan serta menjelaskan bentuk sokongan yang diperlukan, sama ada perkongsian risikan, bantuan logistik, bekalan peluru mahupun penempatan aset dan anggota tentera.
Selain itu, pakatan tersebut akan menubuhkan jawatankuasa politik dan ketenteraan yang menghimpunkan menteri luar, menteri pertahanan serta ketua angkatan tentera ketiga-tiga negara, selain sebuah sekretariat tetap yang akan berpusat di Arab Saudi.
Fidan berkata, negara anggota juga akan bekerjasama dalam latihan ketenteraan, perkongsian risikan, logistik, penilaian ancaman serta meningkatkan keserasian operasi ketenteraan.
Kerjasama dalam industri pertahanan turut dijangka menjadi komponen penting perjanjian berkenaan.
Menurut beliau, perkara itu merupakan antara agenda utama yang dibincangkan ketiga-tiga pemimpin di Mekah, termasuk usaha memanfaatkan teknologi pertahanan masing-masing.
Fidan turut mendedahkan rundingan bagi memuktamadkan perjanjian itu telah berlangsung hampir dua tahun lapan bulan, sekali gus menunjukkan ia bukan dirangka semata-mata sebagai reaksi terhadap ketegangan semasa melibatkan Iran.
Iran persoal perjanjian
Walaupun Turkiye memberi jaminan bahawa pakatan itu bukan ditujukan kepada Iran, beberapa pegawai negara berkenaan menyuarakan keraguan terhadap perjanjian tersebut.
Anggota Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Mahmoud Nabavian berkata, kepimpinan Arab Saudi tidak seharusnya mengharapkan kerjasama dengan Turkiye dan Pakistan mampu menjamin keselamatan negara itu.
Seorang lagi anggota suruhanjaya sama, Ebrahim Rezaei pula menyifatkan perjanjian tersebut sebagai sekadar "perjanjian di atas kertas."
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi tidak menyebut secara langsung mengenai perjanjian itu dalam hantaran di platform X pada Jumaat, namun, beliau menggesa negara-negara rantau tersebut bergantung kepada kekuatan sendiri dan mengutamakan apa yang disifatkannya sebagai "persaudaraan sejati."
Pada masa sama, beliau menegaskan, kesiapsiagaan serta kekuatan angkatan tentera Iran.
Mesir berpotensi sertai pakatan
Fidan menggambarkan perjanjian itu sebagai sebahagian daripada usaha lebih besar untuk memberi tanggungjawab yang lebih luas kepada negara-negara serantau dalam memastikan keselamatan mereka sendiri.
"Kuasa luar yang masuk ke rantau ini tidak menyelesaikan masalah, sebaliknya memburukkan lagi keadaan," katanya.
Beliau menyifatkan Turkiye, Arab Saudi dan Pakistan sebagai teras utama inisiatif berkenaan, sambil menegaskan Ankara mahu melihat pakatan itu berkembang pada masa depan.
"Mengikut visi Presiden kami, pakatan ini tidak seharusnya terhad kepada tiga negara sahaja. Ia perlu diperluaskan dan jika perlu, menghimpunkan lebih banyak negara di bawah payung yang sama," katanya.
Menurut Fidan, beberapa negara lain telah menyatakan minat untuk menyertai perjanjian itu, dan beliau menjangkakan Mesir berpotensi menjadi rakan baharu selepas beberapa isu teknikal diselesaikan.
Bagaimanapun, beberapa aspek pelaksanaan masih perlu diperincikan, termasuk kaedah penyelarasan operasi ketenteraan sekiranya berlaku krisis.
Namun, dengan penubuhan jawatankuasa tetap, sekretariat bersama serta penekanan terhadap kerjasama pertahanan dan keserasian operasi ketenteraan, pakatan tersebut dilihat lebih daripada sekadar deklarasi pertahanan bersama, sebaliknya berpotensi berkembang menjadi kerjasama strategik serantau yang lebih menyeluruh. - Agensi