INTERNATIONAL
Turkiye, Pakistan teguhkan hubungan erat, sasar tingkat perdagangan kepada US$5 bilion 950

Erdogan (kanan) berjabat tangan dengan Sharif sebelum memulakan mesyuarat di Istanbul, Turkiye, 25 Mei 2025. REUTERS
ISTANBUL: Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan pada Ahad menerima kunjungan Perdana Menteri Pakistan Shahbaz Sharif di Istanbul, dengan kedua-dua pemimpin menegaskan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara serta berikrar untuk meningkatkan perdagangan dua hala kepada US$5 bilion.
Ringkasan AI
- Perkukuh Hubungan Dua Hala: Presiden Turkiye dan Perdana Menteri Pakistan menegaskan hubungan bersejarah antara kedua-dua negara dan berikrar meningkatkan perdagangan dua hala kepada USD5 bilion.
- Kerjasama Pelbagai Bidang: Kedua-dua negara bertekad memperluas kerjasama dalam bidang tenaga, pengangkutan, pertahanan, pendidikan, risikan dan teknologi bagi memerangi keganasan.
- Sokongan Antarabangsa dan Isu Serantau: Erdogan menghargai sokongan Pakistan terhadap isu Palestin dan menyokong laluan bantuan ke Gaza, serta menyeru peningkatan keberkesanan Laluan Kereta Api Istanbul-Tehran-Islamabad.
"Kami mengesahkan dan memperkukuh hasrat bersama untuk mempererat hubungan sejarah, kemanusiaan dan politik yang berakar umbi antara Turkiye dan Pakistan dalam semua bidang," katanya menerusi platform media sosial X.
Beliau berkata bahawa pertemuan itu turut mengukuhkan lagi "ikatan erat, kerjasama, solidariti dan persaudaraan antara negara dan rakyat kita," sambil menyampaikan salam mesra kepada rakyat Pakistan.
Sharif dalam hantaran di X selepas pertemuan itu menyifatkan pertemuan dengan "saudara Presiden Recep Tayyip Erdogan" sebagai satu penghormatan dan menyampaikan penghargaan rakyat Pakistan kepada rakyat Turkiye.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih atas "sokongan tegas" Erdogan semasa ketegangan terkini antara Pakistan dan India, yang disifatkannya sebagai membawa kepada "kemenangan besar" buat Pakistan.
Perdana Menteri Pakistan itu berkata kedua-dua pihak turut menilai kemajuan kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan serta memperteguh komitmen untuk terus mengukuhkan hubungan dua hala.
Erdogan pula menegaskan Turkiye akan terus berusaha memperluas kerjasama dalam semua bidang, khususnya tenaga, pengangkutan dan pertahanan.
Dalam pada itu, beliau turut menggariskan kepentingan memperkukuh solidariti dalam bidang pendidikan, perkongsian risikan dan sokongan teknologi dalam usaha memerangi keganasan.
Erdogan menyeru agar keberkesanan Laluan Kereta Api Istanbul-Tehran-Islamabad dapat dipertingkatkan dan menyatakan bahawa usaha dalam bidang pendidikan akan terus memperkukuh hubungan sedia ada.
Beliau juga menghargai pendirian tegas Pakistan berhubung isu Palestin, sambil menambah bahawa Turkiye sedang berusaha gigih untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza secepat mungkin.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami