Skip to main content

Dunia

UK adakan mesyuarat tergempar berhubung cuaca panas ekstrem, kebakaran hutan, kemarau

Britain's newly appointed Prime Minister Andy Burnham looks on as he delivers a speech outside 10 Downing Street after taking office, in London, Britain, July 20, 2026. REUTERS/Isabel Infantes
Burnham dijangka mempengerusikan mesyuarat itu memandangkan kerajaan menyedari bahawa anggota bomba, petani dan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berdepan cabaran berkaitan cuaca. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

LONDON: Perdana Menteri Britain Andy Burnham akan mengadakan mesyuarat tergempar Cobra pada Rabu bagi membincangkan tindak balas berterusan terhadap cuaca panas ekstrem, kebakaran hutan dan kemarau, lapor Anadolu Ajansi yang memetik BBC.

Burnham dijangka mempengerusikan mesyuarat itu memandangkan kerajaan menyedari bahawa anggota bomba, petani dan kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan (NHS) berdepan cabaran berkaitan cuaca, menurut BBC yang memetik jurucakap kerajaan.

Mengulas mengenai mesyuarat tergempar itu, pemimpin Parti Green Zack Polanski berkata negara itu kini perlu bertindak sambil menambah: “Kita tidak boleh berunding dengan sains.”

"Kenakan cukai terhadap syarikat gergasi bahan api fosil bagi membiayai helikopter pemadam kebakaran. Sediakan tempat berlindung daripada cuaca panas di setiap komuniti. Tetapkan had suhu maksimum di tempat kerja. Dan tiada pengeluaran minyak dan gas baharu di Laut Utara," tulisnya di platform media sosial X.

Mesyuarat itu diadakan susulan gelombang haba terbaharu minggu ini, ketika status kemarau diisytiharkan di lebih banyak kawasan di England pada Isnin dan anggota bomba terus memerangi kebakaran hutan besar di New Forest, Hampshire.

Agensi cuaca UK, Met Office, turut mengeluarkan amaran peringkat jingga yang jarang dikeluarkan bagi cuaca panas ekstrem pada Khamis.

Pada Selasa, Met Office memaklumkan UK dijangka mencatat musim panas paling panas pernah direkodkan berdasarkan purata suhu.

Pada 30 Julai, kemarau diisytiharkan di seluruh Wales susulan keadaan yang semakin buruk akibat suhu tinggi yang berterusan, manakala kemarau turut diisytiharkan bulan lepas di separuh kawasan England berikutan taburan hujan terendah dalam rekod dan suhu tinggi yang berpanjangan.

Bulan lepas, Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) memaklumkan Britain merekodkan 2,877 lebihan kematian ketika gelombang haba pada Mei dan Jun, hampir dua kali ganda berbanding 1,504 lebihan kematian yang dicatatkan pada musim panas 2025.

-- BERNAMA-ANADOLU

Must Watch Video

Advertisement