DUNIA
UK catat musim bunga paling panas dalam rekod, paling kering sejak lebih 50 tahun

Gabungan kepanasan dan cahaya matahari bersama hujan rendah menunjukkan perubahan corak cuaca yang semakin ketara di UK. - Foto Reuters
LONDON: United Kingdom (UK) mencatatkan musim bunga paling panas dalam rekod dan paling kering dalam lebih lima dekad, menurut angka awal yang diumumkan pada Isnin, lapor Anadolu Ajansi.
Ringkasan AI
- Musim bunga paling panas & kering dalam rekod: UK mencatatkan purata suhu musim bunga tertinggi sejak 1884 serta mengalami musim bunga paling kering dalam lebih 50 tahun.
- Perubahan iklim semakin jelas: Lapan daripada 10 musim bunga paling panas berlaku dalam 25 tahun terakhir, dengan suhu permukaan laut di sekitar UK juga mencatatkan gelombang haba luar biasa.
- Fenomena ekstrem semakin kerap berlaku: Saintis Met Office mengesahkan gabungan kepanasan dan cahaya matahari bersama hujan rendah menunjukkan perubahan corak cuaca yang semakin ketara.
Negara itu turut mengalami musim bunga paling kering dalam lebih 50 tahun, menjadikannya musim bunga keenam paling kering sejak 1836.
Hanya 128.2 milimeter (5 inci) hujan direkodkan sepanjang musim bunga, iaitu 40 peratus di bawah purata jangka panjang, menurut Met Office.
Perairan di sekitar negara itu juga mengalami gelombang haba, dengan suhu permukaan laut mencecah paras tertinggi sepanjang dua bulan terakhir musim bunga - April dan Mei - menurut agensi itu.
Ia memberi amaran bahawa sesetengah kawasan mencatatkan suhu setinggi 4?C lebih panas daripada biasa, mewujudkan keadaan luar biasa di perairan pantai UK.
Saintis Met Office, Emily Carlisle berkata iklim UK terus berubah dan apa yang paling ketara mengenai musim bunga 2025 ialah gabungan rekod kepanasan dan cahaya matahari bersama hujan yang sangat rendah.
"Musim bunga ini menunjukkan sebahagian daripada perubahan yang sedang berlaku dalam corak cuaca kita, dengan keadaan ekstrem termasuk cuaca kering dan cerah yang berpanjangan semakin kerap berlaku," katanya.
"Data dengan jelas menunjukkan bahawa beberapa dekad kebelakangan ini adalah lebih panas, lebih cerah dan sering lebih kering berbanding purata abad ke-20, walaupun variasi semula jadi masih memainkan peranan dalam cuaca UK," tambah Carlisle.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami