Skip to main content

Dunia

UK, Itali dan Jepun meterai perjanjian US$6.1 bilion bagi pesawat pejuang generasi baharu

F-35 jets_BERNAMA
Pesawat itu akan menggunakan kejuruteraan digital yang kompleks, AI serta teknologi canggih bagi menjadikannya pesawat pejuang paling moden yang pernah dikendalikan oleh RAF. --fotoBERNAMA
Advertisement

BERLIN: United Kingdom (UK), Itali dan Jepun memeterai kontrak bernilai £4.6 bilion (US$6.1 bilion) bagi memajukan pembangunan sebuah pesawat pejuang siluman generasi baharu, lapor Anadolu Ajansi.

Perjanjian itu merupakan "pencapaian penting" bagi Program Tempur Udara Global (GCAP), yang menyasarkan penghasilan pesawat tempur generasi keenam untuk mula beroperasi menjelang 2035, menurut kenyataan Kerajaan Britain.

"Pesawat pejuang GCAP akan beroperasi bersama pesawat Typhoon, F-35 serta sistem autonomi sebagai sebahagian daripada generasi baharu Tentera Udara Diraja (RAF).

"Pesawat itu akan menggunakan kejuruteraan digital yang kompleks, kecerdasan buatan (AI) serta teknologi canggih bagi menjadikannya pesawat pejuang paling moden yang pernah dikendalikan oleh RAF," menurut kenyataan itu.

Kontrak yang dibiayai bersama oleh ketiga-tiga negara itu dianugerahkan kepada Edgewing, sebuah syarikat usaha sama yang ditubuhkan pada 2025 oleh BAE Systems dari Britain, Leonardo dari Itali dan Japan Aircraft Industrial Enhancement Co. Ltd. (JAIEC) dari Jepun.

Kontrak itu akan membiayai fasa seterusnya program berkenaan, yang memberi tumpuan kepada reka bentuk pesawat termasuk menetapkan keperluan utama serta menjalankan ujian yang menyeluruh.

-- BERNAMA-ANADOLU

 

 

Must Watch Video

Advertisement