Skip to main content

Dunia

Ulang tahun 7 Oktober dicemari darah, Israel sasar tokoh utama Hamas

Orang ramai menghadiri pengebumian penganut Kristian Ortodoks Palestin, Mary Hafez Abu Daoud dan anak perempuannya, Maysa Abu Daoud, di Gereja Saint Porphyrius, Bandar Gaza pada 3 Oktober 2026. Kedua-duanya terbunuh dalam serangan udara Israel yang mengena sebuah bangunan apartmen, menurut sumber perubatan. - Gambar Reuters
Orang ramai menghadiri pengebumian penganut Kristian Ortodoks Palestin, Mary Hafez Abu Daoud dan anak perempuannya, Maysa Abu Daoud, di Gereja Saint Porphyrius, Bandar Gaza pada 3 Oktober 2026. Kedua-duanya terbunuh dalam serangan udara Israel yang mengena sebuah bangunan apartmen, menurut sumber perubatan. - Gambar Reuters

Advertisement

BANDAR GAZA: Israel memaklumkan pada Sabtu bahawa ia cuba membunuh pemimpin tertinggi Hamas di Semenanjung Gaza menerusi satu serangan udara ke atas sebuah bangunan pangsapuri yang menurut pihak berkuasa tempatan meragut lima nyawa, termasuk empat wanita.

Serangan yang berlaku sebelum subuh itu dilancarkan bersempena ulang tahun serangan 7 Oktober 2023 mengikut kalendar Yahudi, hari paling berdarah dalam sejarah Israel moden, yang kemudian mencetuskan serangan balas besar-besaran Israel ke atas Gaza.

Tentera Israel berkata, sasaran serangan itu ialah Ali al-Amoudi, yang digambarkan sebagai "orang kanan" kepada bekas ketua Hamas, Yahya Sinwar, yang terbunuh sebelum ini. 

Menurut Israel, al-Amoudi turut terlibat dalam perancangan serangan 7 Oktober 2023.

Bagaimanapun, Israel memaklumkan, pihaknya masih menilai sama ada al-Amoudi terbunuh atau cedera dalam serangan itu.

Tentera Israel mendakwa operasi tersebut dijalankan selepas mendapat maklumat bahawa al-Amoudi berada di dalam bangunan apartmen berkenaan, sambil menuduh Hamas menggunakan orang awam sebagai perisai manusia.

"Hari ini, al-Amoudi adalah tokoh Hamas paling kanan di Semenanjung Gaza dan terlibat secara langsung dalam aktiviti ketenteraan Hamas serta usaha membina semula organisasi itu untuk peperangan. 

"Serangan itu dilaksanakan bagi menghapuskan ancaman tersebut," kata tentera Israel dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan sama, langkah diambil untuk mengurangkan risiko terhadap orang awam termasuk penggunaan peluru berpandu berketepatan tinggi, selain menyatakan kekesalan terhadap sebarang kecederaan atau kematian melibatkan individu yang tidak terlibat.

Israel membunuh Yahya Sinwar di Gaza pada Oktober 2024 dalam operasi yang dianggap ramai rakyat Israel sebagai kemenangan simbolik besar. 

Namun, Israel tetap meneruskan usaha memusnahkan Hamas meskipun gencatan senjata yang diusahakan Amerika Syarikat diumumkan setahun lalu.

Al-Amoudi kini dianggap individu paling berpengaruh Hamas di Gaza. 

Sementara itu, pemimpin pergerakan tersebut, Khalil al-Hayaa, menetap di Qatar dan berusaha mendapatkan kelebihan diplomatik untuk Hamas.

Pada Julai lalu, Hayaa bersetuju dengan cadangan Amerika Syarikat yang menggesa Hamas menyerahkan senjata, satu langkah yang disifatkan Presiden Donald Trump sebagai satu kemajuan penting. 

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menolak langkah itu dan menyifatkannya sebagai tidak ikhlas.

Lima maut termasuk dua beranak

Seorang pegawai di Hospital Al-Shifa, Bandar Gaza, memberitahu agensi berita antarabangsa bahawa pihaknya menerima lima mayat dan beberapa mangsa cedera pada waktu subuh selepas serangan udara di kawasan kejiranan Rimal.

Mangsa yang terbunuh terdiri daripada dua wanita bersama anak perempuan masing-masing serta seorang lelaki.

Jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmoud Bassal berkata, dua peluru berpandu mengenai secara langsung apartmen berkenaan, menyebabkan kebakaran dan kerosakan pada bangunan.

Menurut pengarah hospital, dua daripada lima mangsa yang maut adalah penganut Kristian.

Upacara pengebumian dua wanita itu, dikenal pasti sebagai Maysaa Abu Daoud, 56, dan anak perempuannya Mary Al-Najjar, 36, diadakan pada Sabtu di Gereja Ortodoks Greek Saint Porphyrius di Bandar Gaza.

Saudara mereka, Ihab Ayad berkata, kedua-dua wanita itu berada di rumah dan tidak terlibat dalam sebarang aktiviti ketika serangan berlaku.

"Kami tidak membaling batu atau melancarkan roket. Tetapi jika ada kanak-kanak dalam kalangan kami memegang batu, mereka dilabel pengganas dan pembunuh. 

"Sedangkan mereka memiliki senjata paling canggih dan memusnahkan segala-galanya," katanya.

Kira-kira 1,000 penganut Kristian, kebanyakannya daripada mazhab Ortodoks, tinggal di wilayah Palestin itu. 

Komuniti Kristian Palestin yang lebih besar berada di Tebing Barat, walaupun penghijrahan meningkat sejak perang tercetus.

Menurut pengiraan berdasarkan angka rasmi Israel, serangan yang dipimpin Hamas pada 7 Oktober 2023 mengorbankan 1,221 orang.

Sebagai tindak balas, operasi ketenteraan besar-besaran Israel telah memusnahkan sebahagian besar Gaza dan mengorbankan lebih 74,200 orang, menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas. Angka kementerian itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Kementerian itu turut memaklumkan lebih 1,440 orang terbunuh akibat serangan Israel sejak pengumuman gencatan senjata setahun lalu.

Dalam tempoh sama, tentera Israel melaporkan lima anggota pasukannya serta seorang kontraktor awam terbunuh. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement