OKLAHOMA CITY:Kewujudan makhluk mitos menyerupai mawas yang ceritanya disampaikan sejak berdekad-dekad lalu dari mulut ke mulut, terutamanya dalam kalangan pegembara, kini menjadi sasaran penggubal undang-undang di Oklahoma, Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita AP.

Seoran ahli politik Republikan, Justin Humphrey, telah memperkenalkan rang undang-undang untuk mengisytiharkan musim memburu ‘Bigfoot’. Zon pemburuan itu, seperti yang dicadang oleh Humphrey termasuklah di kawasan hutan tebal di pergunungan Ouachita, tenggara Oklahoma.

Di situ, festival Bigfoot dianjurkan setiap tahun berdekatan sempadan Arkansas. Jelasnya, pengeluaran lesen memburu boleh meningkatkan aktiviti pelancongan.

“Dengan meluluskan musim memburu dan mengekluarkan lesen kepada mereka yang hendak menjejak Bigfoot, lebih ramai orang akan datang ke bahagian negeri kita yang indah ini,” ujar Humphrey dalam satu kenyataan.

Jelasnya, rang undang-undang itu hanya akan membenarkan aktiviti memasang perangkap dan dia juga berharap dapat mengumpulkan sejumlah AS$25,000 sebagai ganjaran.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Konservasi Hidupan Liar Oklahoma, Micah Holmes, yang mengulas langkah itu berkata, selama ini jabatannya sudah menggunakan kaedah saintifik untuk mengkaji dan menjejak Bigfoot, namun tidak pernah mengakui kewujudannya.